Skip to main content

Dunia

Dasar perdagangan perlindungan AS dijangka kekal walaupun demokrat menang - Penganalisis

Perubahan besar terhadap dasar tarif Washington tidak dijangka berlaku kerana hampir tiada petunjuk mengenai usaha menyemak semula dasar berkenaan dalam perbincangan politik menjelang pilihan raya itu. - Gambar fail
Perubahan besar terhadap dasar tarif Washington tidak dijangka berlaku kerana hampir tiada petunjuk mengenai usaha menyemak semula dasar berkenaan dalam perbincangan politik menjelang pilihan raya itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dijangka tidak melonggarkan dasar perdagangan perlindungannya secara ketara meskipun Parti Demokrat mencatat kemenangan dalam pilihan raya pertengahan penggal, memandangkan nasionalisme ekonomi kini menjadi pendirian yang dikongsi kedua-dua parti utama negara itu, menurut seorang penganalisis Malaysia.

Pengarah Eksekutif Citizens International Imran Rasid berkata perubahan besar terhadap dasar tarif Washington tidak dijangka berlaku kerana hampir tiada petunjuk mengenai usaha menyemak semula dasar berkenaan dalam perbincangan politik menjelang pilihan raya itu.

"Malah, dasar nasionalisme ekonomi dan dasar perlindungan perdagangan kini menjadi pendirian kedua-dua parti.

Advertisement

"Jadi, saya tidak menjangkakan banyak perubahan dalam perkara itu," katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV pada Rabu.

Parti Demokrat berjaya menguasai Senat dan Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, sekali gus mengubah keseimbangan kuasa dalam Kongres AS.

Advertisement

Mengulas keputusan pilihan raya itu, Imran berkata kemenangan Demokrat di kedua-dua dewan Kongres mencerminkan penolakan terhadap kepimpinan Presiden Donald Trump, namun tidak semestinya terhadap ideologi politik beliau.

"Penolakan terhadap Trump tidak bermakna penolakan terhadap pendekatan politik yang dibawanya," katanya.

Beliau berkata keputusan itu melemahkan legitimasi politik Trump dan boleh mengehadkan tindakan pentadbirannya menerusi pengawasan Kongres yang lebih ketat, termasuk siasatan, kelulusan belanjawan serta pengesahan Senat terhadap calon yang dinamakan presiden.

Walaupun Kongres mempunyai kuasa untuk meminda undang-undang berkaitan tarif, Imran berkata perubahan sedemikian dilihat bukan menjadi keutamaan.

"Undang-undang yang membenarkan pelaksanaan tarif ini digubal di Kongres, jadi terdapat kemungkinan Kongres boleh meminda atau menggubal semula undang-undang berkenaan," katanya.

Mengenai implikasi terhadap Malaysia, Imran berkata bakal Duta Besar AS ke Malaysia perlu mengutamakan usaha memberikan jaminan kepada kerajaan Malaysia bahawa dasar Washington akan kekal stabil dan boleh dijangka.

"Saya berpendapat Duta Besar AS perlu memberikan jaminan kepada Malaysia atau kerajaan Malaysia pada masa ini bahawa pendekatan politik AS seharusnya lebih stabil dan boleh dijangka," katanya.

Beliau berkata Malaysia dan negara lain di Selatan Global masih bimbang sama ada Washington akan terus melaksanakan langkah ekonomi secara unilateral atau beralih kepada pendekatan lebih multilateral berasaskan undang-undang antarabangsa.

Imran menambah bahawa Washington semakin cenderung melaksanakan dasar secara sepihak tanpa mengira parti yang menguasai Rumah Putih. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement