WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak mengumumkan perjanjian ekonomi baharu yang diberi nama "Deklarasi Atlantik" bertujuan memperkukuh hubungan industri pertahanan dan tenaga, namun, belum mencapai kesepakatan perdagangan bebas sepenuhnya yang diinginkan oleh UK sejak meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Pengumuman perjanjian itu dibuat semalam (Khamis) dalam kunjungan sulung Sunak ke White House sejak dilantik sebagai Perdana Menteri UK pada Oktober tahun lalu.

Dalam kerangka ekonomi baharu berkenaan, AS dan UK tekad untuk bekerjasama dalam membangunkan keazaman sebagai rakan kongsi yang berdaya tahan, kepelbagaian, menjamin rantaian bekalan serta mengurangkan kebergantungan kepada negara-negara seperti China dan Rusia, kata kedua-dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan.

Susulan pertemuan itu juga, Sunak menafikan, jalinan kerjasama ekonomi baharu itu yang turut mencakupi kesepakatan untuk bekerja sama dalam pengembangan teknologi strategik, koordinasi kawalan eksport dan perkongsian data dengan lebih selamat merupakan perakuan kegagalan dalam mencapai kesepakatan perdagangan bebas dengan Washington.

Sebaliknya, kata Sunak, kesepakatan itu telah lama dijanjikan sebelum UK meninggalkan EU pada tahun 2020, namun, sukar untuk dilaksanakan.

"Jika anda melihat apa yang kami umumkan hari ini, ia adalah sebagai menerima peluang dan menghadapi cabaran yang sedang kami hadapi pada saat ini dan pada masa depan," kata Sunak.

Sementara itu, Biden pula menegaskan, keputusan bersama UK merintis kerjasama itu dengan memulakan rundingan serta mengukuhkan penguasaan rantaian bekalan mineral atau disebut sebagai ‘kunci’ kerangka kerjasama itu.

Pertemuan Biden dan Sunak turut menyentuh perihal kecerdasan buatan (AI) selain sokongan jangka panjang untuk Ukraine.

Kedua-dua mereka saling berikrar untuk terus bekerja sama dalam mengelola AI.

Sunak juga menyatakan iltizam bahawa beliau dan Biden akan ‘menempatkan nilai kedua-dua negara sebagai keutamaan dalam usaha menawarkan manfaat kepada rakyat British dan Amerika."

Sementara itu, Biden pula menggambarkan hubungan ‘istimewa’ antara kedua sekutu tersebut berada ‘dalam keadaan yang baik.’