MADINAH: Hujan renyai hingga tahap sederhana masih melanda beberapa kawasan di Madinah sehingga petang Sabtu, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Ahad.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat di wilayah Madinah pada Sabtu disertai angin kencang, hujan batu, banjir kilat dan ribut petir, selain jarak penglihatan yang boleh berkurangan sehingga hampir sifar.
NCM memaklumkan ramalan cuaca itu dijangka berlaku antara 9 pagi hingga 7 malam, sambil menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa.
SPA turut melaporkan hujan renyai hingga tahap sederhana di beberapa kawasan di Madinah kira-kira 10 pagi Sabtu.
Langit dilaporkan masih mendung dengan kemungkinan hujan berterusan.
Sementara itu, beberapa kawasan di wilayah Aseer, Al-Baha, Jazan, Madinah, Makkah, Riyadh, Qassim dan Wilayah Timur dijangka mengalami ribut petir pada Ahad, disertai hujan batu dan angin kencang.
Menurut NCM, kabus juga berkemungkinan melanda beberapa kawasan di wilayah berkenaan, selain Tabuk, Al-Jouf dan Sempadan Utara.
Pada 6 Nov, SPA melaporkan Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Arab Saudi (SRCA) di wilayah Madinah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan menyediakan 70 pasukan ambulans dan jentera sokongan serta memperkukuh keupayaan mengendalikan panggilan dan kejadian kecemasan bagi memastikan keselamatan penduduk serta pengunjung.
Ketua Pengarah SRCA cawangan wilayah Madinah Dr Ahmed Al-Zahrani berkata persiapan itu turut melibatkan kesiapsiagaan pusat penyelarasan perkhidmatan perubatan kecemasan, pasukan ambulans asas dan lanjutan, pasukan tindak balas pantas serta kenderaan bantuan khusus.
Pasukan ambulans sukarelawan di kawasan pusat bandar dan Masjid Nabawi turut diletakkan dalam keadaan siap siaga.
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan bersepadu bagi menghadapi perubahan cuaca, dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Al-Zahrani turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dan panduan keselamatan pihak berkuasa, menjauhi laluan aliran banjir serta kawasan yang dinaiki air dan tidak menyeberangi lembah ketika hujan.
Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 997 pada bila-bila masa untuk mendapatkan bantuan perubatan kecemasan.
-- BERNAMA-SPA