DUNIA
Hujan lebat landa tengah Korea Selatan, 2 maut, 1,000 dipindahkan

Dengan aliran hujan menunjukkan tanda bergerak ke utara, pihak berkuasa pengurusan bencana negara menaikkan amaran kepada tahap kedua tertinggi di Wilayah Chungcheong dan bahagian selatan Wilayah Gyeonggi. - Foto REUTERS
SEOUL: Dua maut dan kira-kira 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan apabila hujan lebat melanda beberapa kawasan di bahagian tengah Korea Selatan, kata pihak berkuasa pada Khamis, sambil memberi amaran lebih banyak hujan lebat yang mencurah-curah dijangka dalam beberapa hari akan datang, lapor Agensi Berita Yonhap.
Dengan aliran hujan menunjukkan tanda bergerak ke utara, pihak berkuasa pengurusan bencana negara menaikkan amaran kepada tahap kedua tertinggi di Wilayah Chungcheong dan bahagian selatan Wilayah Gyeonggi.
Pada Rabu, sebuah tembok penahan runtuh dan menghempap sebuah kenderaan yang sedang bergerak di Bandar Osan, 52 kilometer ke selatan Seoul, menyebabkan pemandu terbunuh.
Di Seosan, Wilayah Chungcheong Selatan, seorang lelaki ditemukan dalam keadaan jantung terhenti dalam sebuah kenderaan yang ditenggelami air pada kira-kira 3.59 pagi Khamis dan disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke hospital.Dua kecederaan ringan, termasuk akibat hipotermia turut dilaporkan di Seosan dan Buyeo.
Sejak Rabu malam, Seosan menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan mencatatkan jumlah hujan sebanyak 344 milimeter (mm), menurut pihak kaji cuaca.
Sebanyak 114.9 mm hujan direkodkan dalam tempoh satu jam antara 1.46 pagi hingga 2.46 pagi di Seosan, menjadikannya hujan paling lebat pernah direkodkan bagi bulan Julai sejak pemantauan bermula pada 1968.
Hujan lebat juga mencetuskan kejadian tanah runtuh di Cheongyang, Wilayah Chungcheong Selatan, menyebabkan dua penduduk terperangkap seketika sebelum berjaya diselamatkan.
Pihak bomba berkata kedua-dua mangsa dihantar ke hospital dan hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tidak mengancam nyawa mereka.
Di Bandar Cheongju, Wilayah Chungcheong Utara, kadar hujan mencecah 67.4 mm sejam, kedua tertinggi direkodkan.
Setakat 7 pagi Khamis, sebanyak 26 amaran kecemasan hujan lebat telah dikeluarkan menerusi telefon bimbit di seluruh negara, dengan 25 daripadanya melibatkan kawasan Chungcheong.
Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) mengeluarkan amaran sedemikian apabila hujan melebihi 50 mm sejam dan jumlah hujan kumulatif tiga jam melebihi 90 mm , atau apabila hujan satu jam melebihi 72 mm.
Lebih banyak hujan dijangka melanda negara itu sehingga Sabtu.
Antara 50 hingga 150 mm hujan dijangka di kawasan metropolitan Seoul dan Wilayah Chungcheong, 30 hingga 100 mm di Wilayah Jeolla Utara, dan 20 hingga 80 mm di Gwangju serta Wilayah Jeolla Selatan sehingga Jumaat.
Wilayah selatan turut diramal menerima hujan lebat mulai Jumaat, dengan kawasan seperti Ulsan dan Busan dijangka menerima hujan antara 100 hingga 200 mm.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami