Skip to main content

Dunia

Hujan lebat ragut empat nyawa di Syria, Libya dan Jordan

Kenderaan terkandas di atas jalan yang dinaiki air akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda Tripoli, Libya. - Foto AP
Kenderaan terkandas di atas jalan yang dinaiki air akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda Tripoli, Libya. - Foto AP

Advertisement

ISTANBUL: Empat orang termasuk dua kanak-kanak maut dalam kejadian berkaitan hujan lebat di Syria, Libya dan Jordan pada Selasa, apabila banjir kilat melanda beberapa kawasan di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Di Syria, dua kanak-kanak dihanyutkan arus banjir di kawasan Maadan, wilayah Raqqa, menurut stesen televisyen Al-Ikhbariya memetik pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca buruk di timur laut Syria, termasuk wilayah Raqqa, Deir ez-Zor dan Hasakah.

Di Libya, seorang pekerja bank maut akibat terkena renjatan elektrik ketika dalam perjalanan ke tempat kerja semasa hujan lebat melanda ibu negara, Tripoli, menurut Jumhouria Bank milik kerajaan.

Hujan lebat turut menyebabkan beberapa kawasan perumahan dinaiki air serta merosakkan bangunan dan kenderaan, manakala syarikat air dan pembetungan negara itu memaklumkan bahawa sistem perparitan bandar berkenaan tidak mampu menampung jumlah air hujan yang tinggi.

Bulan Sabit Merah Libya turut menggerakkan pasukan kecemasan, manakala pihak berkuasa perbandaran Souq al-Jumaa di Tripoli mengisytiharkan kawasan itu sebagai kawasan bencana serta memohon bantuan segera kerajaan.

Pihak berkuasa turut memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga, sementara Universiti Tripoli menangguhkan peperiksaan hingga Khamis.

Di Jordan, pasukan penyelamat menemukan mayat seorang lelaki berusia 23 tahun yang dihanyutkan banjir kilat di daerah Ruwaished, timur negara itu, menurut Direktorat Keselamatan Awam.

Pihak berkuasa menggesa penduduk menjauhi kawasan berisiko banjir susulan hujan lebat dan ribut petir yang masih menjejaskan beberapa kawasan di negara berkenaan.

Arab Saudi dan Algeria turut mengeluarkan amaran berhubung hujan lebat yang berpotensi mencetuskan banjir kilat, manakala amaran banjir juga dikeluarkan di beberapa kawasan di UAE susulan hujan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement