VLADIVOSTOK: Tahap hutang awam Rusia merupakan antara yang terendah di dunia, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Terdapat defisit, namun ia tidak kritikal. Mengambil kira bahawa kami mempunyai antara kadar hutang awam terendah di dunia, jadi ia tidak kritikal," kata Putin semasa sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF-2026).
Selain itu, Putin berkata pelaburan di Rusia menunjukkan penurunan kebelakangan ini, sebahagiannya berpunca daripada dasar terancang pihak berkuasa yang bertujuan untuk membendung inflasi.
Terdapat ancaman lonjakan hiperinflasi di Rusia namun kami menghalangnya, katanya.
"Matlamat (dasar yang dilaksanakan oleh Bank Pusat dan kerajaan Rusia) adalah untuk membendung inflasi. Kita tidak boleh membiarkan sebarang lonjakan melampau berlaku, walaupun ancaman seperti itu wujud."
Menurut Putin, langkah utama ketika ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelaburan swasta.
"Ya, memang terdapat defisit (dalam bajet persekutuan), tetapi ia tidak kritikal. Jika kami mengambil kira bahawa kami mempunyai salah satu tahap hutang awam terendah di dunia, maka tiada isu kritikal di sini," tambah Putin.
Presiden itu turut menekankan keperluan untuk menggunakan dana bajet secara rasional serta menetapkan keutamaan yang jelas.
"Pada masa ini, kadar inflasi tahunan kami berada pada paras 6.3 peratus. Matlamat tersebut sedang dicapai. Apa yang penting adalah untuk memastikan ekonomi tidak mengalami pembekuan (overcooling). Kami amat memahami perkara ini," jelas Putin
Bandar Vladivostok yang terletak di pesisir pantai Pasifik Rusia menjadi tuan rumah kepada penganjuran EEF-2026 dari 1 hingga 4 Sept. RIA Novosti bertindak sebagai rakan media am bagi forum berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluan, Putin menyifatkan rantau Asia Pasifik sebagai sebuah pusat pertumbuhan yang memiliki daya tahan kukuh.
Rusia merupakan peserta aktif dalam kerjasama pelaburan dan perdagangan di rantau Asia Pasifik, kata presiden itu sambil menambah bahawa Rusia bekerjasama atas dasar kesaksamaan dengan rakan-rakan kongsi dari rantau tersebut.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI