INTERNATIONAL
Ibu usia 103 tahun dikasari anak kandung kerana tuntut geran tanah

Mangsa ketika membuat laporan berhubung insiden berkenaan. - Foto Sinar Harian/Agensi
PALEMBANG: Seorang warga emas berusia 103 tahun dianiaya oleh anak kandungnya sendiri hanya kerana menuntut semula geran tanah miliknya yang didakwa diambil tanpa kebenaran.
Mangsa, Ngadinah, yang menetap di Kecamatan Kalidoni, Palembang, membuat laporan polis di Sentra Pelayanan Kepolisian Terpadu (SPKT) Pejabat Polis Palembang pada Selasa petang.
Menurut Ngadinah, insiden berlaku apabila dia mempersoalkan tindakan anaknya, JM, yang mengambil sijil tanah tersebut tanpa izin.
“Geran tanah itu dulu memang saya yang pegang, tapi dia ambil tanpa kebenaran. Saya cuma minta dikembalikan, tetapi dia terus marah,” katanya ketika ditemui pada Rabu.Lebih malang, ketika berada dalam keadaan marah, JM didakwa melemparkan bekas tin susu ke arah ibunya hingga mengenai lutut warga emas tersebut.
“Pagi tadi masih bengkak, saya langsung tak boleh berjalan. Tapi lepas saya sapu minyak, Alhamdulillah sudah kurang sikit sakitnya,” ujar Ngadinah dalam nada perlahan.
Beliau turut memaklumkan bahawa JM sememangnya dikenali sebagai seorang yang panas baran, namun ini merupakan kali pertama dia mengalami kekerasan fizikal daripada anaknya itu.
“Selama ini dia cuma marah-marah saja. Tapi kali ini dia naik tangan. Saya mahu dia bertanggungjawab,” katanya tegas.
Ngadinah juga berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya agar kejadian serupa tidak berulang.
Ketua SPKT, Inspektor Dua (Ipda) Erwin berkata, pihaknya telah menerima laporan dan akan menyerahkannya kepada bahagian siasatan jenayah (Reskrim) untuk tindakan lanjut.
“Laporan sudah kami terima dan akan segera diserahkan kepada penyiasat untuk disiasat dengan lebih mendalam,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami