Iceland kaji penyertaan dalam Eurovision 2026 selepas Israel dibenar bertanding

RUV memaklumkan bahawa lembaganya akan bermesyuarat pada Rabu untuk memutuskan sama ada Iceland akan menyertai Eurovision tahun depan setelah EBU membenarkan Israel bertanding. - Foto Eurovision Song Contest 2026
BERLIN: Iceland akan membincangkan sama ada negara itu akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Lagu Eurovision 2026 selepas Israel dibenarkan menyertai acara tersebut, kata Menteri Luar Thorgerdur Katrin Gunnarsdottir pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Jerman di Berlin, Gunnarsdottir menekankan kebimbangan mendalam Iceland terhadap perkembangan di Semenanjung Gaza serta pendirian jelas negara itu mengenai isu tersebut.
"Kami sangat menyokong penyelesaian dua negara. Kami turut mengalu-alukan gencatan senjata yang sangat diperlukan di Gaza, dan kami juga menggesa bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza," katanya.
Beliau berkata selepas Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) membenarkan Israel kembali bertanding dalam Eurovision 2026 meskipun terdapat gesaan daripada beberapa penyiar untuk mengecualikannya, pihak berkuasa Iceland akan menilai perkembangan itu.
"Saya mahu berbincang dengan menteri kebudayaan, dan ada yang mengatakan ia berada dalam bidang kuasa penyiar nasional.
"Tetapi itu perkara yang sensitif di Iceland, dan kami akan membincangkannya di sana terlebih dahulu sebelum saya mengulas kepada media Jerman. Ini isu sensitif, dan kami akan menilai dari semua sudut," katanya.
Penyiar nasional Iceland RUV turut memaklumkan bahawa lembaganya akan bermesyuarat pada Rabu untuk memutuskan sama ada negara itu akan menyertai Eurovision tahun depan setelah EBU membenarkan Israel bertanding.
EBU pada Khamis mengesahkan Israel boleh menyertai pertandingan tahun depan yang akan berlangsung di Vienna, Austria, selepas anggota memutuskan untuk tidak mengadakan undian khusus mengenai penyertaan Israel meskipun diminta oleh beberapa penyiar.
Sebaliknya, anggota hanya mengundi sama ada Eurovision perlu diteruskan mengikut senario yang telah dirancang, termasuk pakej langkah berkaitan sistem pengundian tetapi tidak melibatkan undian mengenai penyertaan negara anggota.
Penyertaan Israel dalam pertandingan itu telah lama menjadi isu kontroversi. Selepas acara terakhir di Basel, Switzerland, apabila Israel hampir memenangi saingan tersebut, desakan untuk mengecualikannya semakin meningkat susulan angka korban awam yang tinggi di Semenanjung Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Semenanjung Gaza telah meragut lebih 70,000 nyawa -kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta mencederakan hampir 171,000 orang. Beberapa pakar, termasuk yang dilantik oleh sebuah badan PBB, menyatakan serangan Israel di Semenanjung Gaza merupakan tindakan genosid.
Rusia dilarang menyertai Eurovision susulan pencerobohannya ke atas Ukraine pada 2022, tetapi Israel terus bertanding sejak dua tahun lalu biarpun kontroversi berlarutan.
EBU mempertahankan penyertaan Israel, dengan menekankan komitmennya terhadap keterangkuman dan berkecuali.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

