Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mungkin harus keluar dari ‘zon selesa’ dan menimbang langkah luar biasa untuk membantu negara yang berdepan cabaran akibat penularan COVID-19.

Menurut Pengarah Urusannya, Kristalina Georgieva, IMF turut mengambil langkah luar biasa untuk menambah bantuan kepada pasaran membangun dan ekonomi sedang tumbuh yang menyaksikan dana keluar sehingga ASD100 bilion dalam beberapa bulan ini.

Dalam laporan Reuters, Georgieva menambah jumlah dana keluar ini adalah antara paras tertinggi yang dicapai dalam rekod.

Tambahnya, lebih banyak bantuan diperlukan jika tekanan pasaran meningkat.

Tegasnya, pinjaman kepada negara ini, biarpun dengan kadar rendah dan syarat longgar mungkin bukan penyelesaian yang sesuai kepada negara ini.

Ini kerana, ada antara negara ini yang sedia ada mempunyai kadar hutang yang tinggi.

Tambahnya, antara penyelesaian luar biasa yang boleh dilakukan termasuk kerjasama lebih dengan institusi antarabangsa dan sektor swasta.

Georgieva bagaimanapun tidak memberikan perincian tentang cadangan ini.

Kenyataan ini dibuat selepas terbitan IMF dan Bank Dunia minggu lepas mencadangkan 77 negara yang kini mendapat penggantungan pembayaran hutang dimaafkan hutang mereka.

Sebelum ini, IMF mencadangkan pengeluaran hak pengeluaran khas atau SDR, simpanan negara ahli di IMF untuk menyokong rizab masing masing.

Namun, Amerika Syarikat (AS) menolak cadangan ini kerana SDR adalah berdasarkan kuasa mengundi iaitu lebih kaya negara, lebih besar kuotanya.

Menurut AS, ini hanya akan memberikan negara kaya lebih banyak wang dan jumlah yang sedikit kepada negara pendapatan rendah.

IMF sebelum ini menjangkakan ekonomi dunia akan tumbuh pada kadar negatif tiga peratus tahun ini susulan arahan tinggal di rumah untuk menghentikan penularan COVID-19.