KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ditahan sejurus tiba di Mahkamah Tinggi di Islamabad bagi berdepan pelbagai tuduhan rasuah.

Pemimpin Kanan Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan, Fawad Chaudhry berkata, Imran, 72 tahun ditahan di pekarangan mahkamah oleh pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Pakistan.

Memetik laporan AP, Fawad berkata, Imran ditarik keluar dari mahkamah sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan polis.

Katanya, Imran yang juga bekas pemain kriket, itu kini dalam tahanan pihak keselamatan sambil menyifatkan penahanan itu satu bentuk 'penculikan'.

Rakaman dari parti Tehreek-e-Insaf Pakistan menunjukkan Imran ditarik oleh pasukan keselamatan ke arah sebuah kenderaan perisai, yang membawanya pergi.
Berlaku pergelutan antara penyokong Imran dan pihak berkuasa selepas Imran ditahan.

Fawad berkata beberapa peguam, penyokong Imran serta anggota polis cedera dalam pergelutan itu.

Beberapa jam sebelum penahanan beliau, Imran dalam sebuah klip video pendek, meramalkan penahanannya.

"Apabila ini sampai kepada anda, saya sudah diberkas dalam satu kes yang menyalahi undang-undang. Selepas ini, anda pasti akan menyedari kebebasan asas, undang-undang dan demokrasi telah terkubur," kata Imran dalam video berkenaan.