DUNIA
India: Doktor ditahan berhubung kematian kanak-kanak dikaitkan ubat batuk tercemar

Polis di negeri Madhya Pradesh, tengah India menahan seorang doktor berhubung kematian 10 kanak-kanak yang didakwa mempunyai kaitan dengan ubat batuk tercemar. - Foto hiasan
ANKARA: Polis di negeri Madhya Pradesh, tengah India menahan seorang doktor berhubung kematian 10 kanak-kanak yang didakwa mempunyai kaitan dengan ubat batuk tercemar, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan pegawai pada Ahad.
Penahanan itu susulan laporan bahawa kanak-kanak yang meninggal dunia di daerah Chhindwara telah mengambil ubat batuk yang dijual di pasaran tempatan.
"Kami telah menahan seorang doktor yang memberi preskripsi ubat batuk kepada majoriti kanak-kanak yang meninggal dunia," kata pegawai kanan polis daerah berkenaan, Ajay Pandey kepada pemberita.
Pandey berkata ujian makmal mendapati sebatian toksik diethylene glycol (DEG) - yang diketahui boleh menyebabkan keracunan maut - dikesan melebihi paras dibenarkan dalam ubat batuk berkenaan."Syarikat pengeluar turut dinamakan dalam kes yang didaftarkan oleh pihak polis," tambahnya.
Berikutan kemarahan orang ramai, kerajaan negeri Madhya Pradesh telah mengharamkan penjualan sirap batuk Coldrif serta produk lain keluaran syarikat sama.
"Penjualan sirap ini telah diharamkan di seluruh negeri Madhya Pradesh. Larangan turut dikenakan terhadap penjualan produk lain daripada syarikat yang mengeluarkan sirap itu," kata Ketua Menteri Mohan Yadav menerusi platform X.
Kementerian Kesihatan India pula mengeluarkan nasihat agar ubat batuk dan selesema tidak diberikan kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun.
Sementara itu, di negeri Rajasthan, pihak berkuasa menggantung tugas seorang pegawai kesihatan kanan selepas beliau menghentikan pengedaran 19 jenis ubat berikutan kematian dua kanak-kanak dan beberapa lagi jatuh sakit, dipercayai selepas mengambil ubat batuk, lapor All India Radio.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami