India sahkan hanya dua kes virus Nipah di Bengal Barat sejak Disember

Pihak berkuasa India sudah mengenal pasti dan mengesan seramai 196 individu yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua pesakit berkenaan. -Gambar fail/Reuters
NEW DELHI: Kementerian Kesihatan India mengesahkan bahawa hanya dua kes virus Nipah direkodkan di negeri Bengal Barat sejak Disember lalu, sekali gus menolak dakwaan tular di media sosial yang menyebut angka lebih tinggi.
Menurut kenyataan kementerian, angka lain yang tersebar adalah bersifat spekulatif dan tidak tepat.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa 196 individu yang mempunyai kontak rapat dengan kedua‑dua pesakit telah dikenal pasti, dikesan dan diuji, dan semuanya didapati negatif serta tidak menunjukkan sebarang gejala.
Kementerian Kesihatan India menegaskan bahawa langkah kesiapsiagaan dipertingkatkan termasuk parkir khas pesawat dari kawasan berisiko Nipah, dan pengisytiharan kesihatan wajib bagi penumpang sebelum melepasi imigresen.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar kematian virus Nipah berada pada 40 hingga 75 peratus, menjadikannya patogen berisiko tinggi yang mampu mencetuskan wabak.
Tiada vaksin atau rawatan khusus tersedia setakat ini, dan rawatan adalah berbentuk sokongan klinikal sahaja.
Pihak berkuasa India memberi jaminan bahawa keadaan berada dalam kawalan dengan pengawasan berterusan, peningkatan ujian makmal serta langkah pencegahan yang dijalankan bersama agensi kesihatan pusat dan negeri.
Tiada kes baharu dikesan setakat ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


