Skip to main content

Malaysia

Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran himpun 1,089 peserta di Perlis

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran -- ASTRO AWANI
Pada majlis sama, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 22 peserta tadarus serta enam imam dan bilal masjid. - Foto Astro AWANI

KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran Peringkat Negeri Perlis 2026 yang menghimpunkan seramai 1,089 peserta di Masjid Al-Muqarrabin Behor Empiang pada Sabtu.

Majlis tersebut turut mendapat sokongan penaung program, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang juga anakanda puteri sulung Raja Muda Perlis.

Advertisement

Sebanyak 47 masjid di seluruh negeri ini berjaya menganjurkan 78 kumpulan tadarus sepanjang Ramadan tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat Perlis dalam menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan yang penuh keberkatan.

Inisiatif tersebut juga diharapkan dapat mendorong lebih banyak masjid yang masih belum mempunyai kumpulan tadarus untuk mengambil langkah mewujudkannya pada masa hadapan.

Program tahunan itu dianjurkan oleh Majlis Gabungan Persatuan Wanita Negeri Perlis (NCWO Perlis) di bawah kepimpinan pengerusinya, Datuk Mastika Junaidah Husin dengan kerjasama Pertubuhan Khidmat Wanita Negeri Perlis (PERWANIS) serta Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI).

Majlis dimulakan dengan sesi tadarus dan khatam Al-Quran sebelum diteruskan dengan sesi tadabbur Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar Al-Hafiz.

Pada majlis sama, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 22 peserta tadarus serta enam imam dan bilal masjid.

Penganjuran program berkenaan bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh penghayatan terhadap Al-Quran, malah turut menyemarakkan semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam usaha memartabatkan syiar Islam serta mengimarahkan institusi masjid di negeri ini.

Must Watch Video