JAKARTA: Kementerian Pengangkutan Indonesia kini giat mempromosi peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dalam usaha untuk meningkatkan kualiti udara, terutama di kawasan bandar raya seperti Jakarta.

Menterinya Budi Karya Sumadi berkata kenderaan yang dikuasakan oleh bahan api fosil menyumbang kepada lebih 50 peratus pencemaran udara.

"Apabila orang ramai kembali kepada rutin biasa mereka selepas pandemik COVID-19, tahap pencemaran udara di Jakarta telah meningkat," katanya pada kempen 'Fun Ride' pada Sabtu.

Kempen anjuran Persatuan Industri Motosikal Elektrik Indonesia itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan elektrik.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Rabu lepas oleh IQAir, sebuah firma Switzerland yang pakar dalam teknologi kualiti udara, Jakarta dikenal pasti sebagai bandar paling tercemar di dunia.

Menurut Budi, kerajaan sedang mempercepat pertumbuhan sektor motosikal elektrik, termasuk pembangunan EV baharu dan mengubah suai kenderaan sedia ada.

Malah, kementerian itu telah memperkenal Peraturan No. PM 39 Tahun 2023, yang menetapkan garis panduan penukaran motosikal enjin pembakaran dalaman kepada elektrik berkuasa bateri.

Sehingga 10 Ogos, terdapat sejumlah 183 motosikal elektrik yang diubah suai dan 59,388 motosikal elektrik baharu.

Budi juga mencadangkan agar pengeluar EV mewujudkan ekosistem yang menyokong untuk meningkatkan kualiti EV dan menetapkan spesifikasi bateri standard dan pada masa yang sama berharga mampu milik.

Indonesia sedang giat mencari pelabur untuk membantu dalam penstrukturan semula industri nikelnya, bahagian penting dalam pembuatan bateri EV dan mendidik orang ramai mengenai kelebihan EV.

Kerajaan turut mempromosi penggunaan EV untuk pengangkutan rasmi di pejabat kerajaan dan memudahkan peralihan daripada kenderaan berkuasa petrol kepada EV.

-- BERNAMA