Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Indonesia beri amaran peningkatan pengedaran dadah sasar pelajar, antaranya guna vape

Bernama 28/10/2025 | 08:26 MYT
Pelajar diseru agar sentiasa berwaspada dan menolak godaan untuk mencuba bahan berbahaya. - Gambar hiasan
JAKARTA: Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) Indonesia memberi amaran sindiket dadah kini menggunakan pelbagai cara baharu untuk mengedar bahan terlarang termasuk menyasarkan golongan pelajar, lapor agensi berita ANTARA.


Ringkasan AI
  • Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) Indonesia memberi amaran bahawa sindiket dadah kini menyasarkan pelajar dengan menyamar bahan terlarang sebagai gula-gula, minuman dan rokok elektronik, serta menyeru golongan muda agar berwaspada dan menolak godaan mencuba dadah.
  • Ketua BNN, Suyudi Ario Seto menekankan kesan buruk dadah terhadap kesihatan fizikal dan mental, serta memuji semangat pelajar dalam Kem Nasional Antidadah yang dianjurkan oleh BISON sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan sahsiah generasi muda.
  • Program selama tiga hari itu menghimpunkan 1,200 pelajar dari 50 sekolah sekitar Jakarta Raya, dengan pelbagai aktiviti bertujuan memupuk nilai kebangsaan, memperkukuh jati diri dan semangat perpaduan, serta turut disertai Utusan Khas Presiden, Raffi Ahmad.


Ketua BNN, Pesuruhjaya Tinggi Jeneral Suyudi Ario Seto, berkata bahan terlarang kini tidak lagi dilakukan dalam bentuk konvensional, sebaliknya disamarkan sebagai gula-gula, minuman serta rokok elektronik atau vape.

Bercakap pada Kem Nasional Antidadah di Jakarta pada Sabtu, Seto menyeru pelajar agar sentiasa berwaspada dan menolak godaan untuk mencuba bahan berbahaya.

"Mencuba dadah walaupun sekali boleh menyebabkan ketagihan. Lama-kelamaan, penyalahgunaan dadah boleh merosakkan otak, kesihatan fizikal dan mental, malah dalam banyak kes boleh membawa maut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Seto menegaskan bahawa golongan muda memainkan peranan penting dalam melindungi negara daripada ancaman narkotik, sambil memuji semangat peserta kem yang menunjukkan keprihatinan terhadap masa depan Indonesia.

Kem anjuran Barisan Intelektual Strategi Objektif Nasional (BISON) itu dianggap sebagai usaha positif untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap bahaya dadah.

Program itu turut berperanan sebagai platform pembinaan sahsiah, mengukuhkan tekad serta menanam semangat saling melindungi dalam kalangan generasi muda daripada ancaman narkotik.

Utusan Khas Presiden bagi Pembangunan Belia dan Pekerja Kreatif, Raffi Ahmad yang turut hadir, mengingatkan peserta agar menjauhi dadah dan menumpukan usaha ke arah kecemerlangan.

"Jangan fikir menggunakan dadah menjadikan anda kelihatan hebat. Yang benar-benar hebat ialah apabila anda berkarya dan mencapai kejayaan, bukan apabila anda mengambil dadah. Jadi jangan sesekali mencubanya," kata Raffi.

Kem Nasional Antidadah yang berlangsung dari 24 hingga 26 Okt itu menghimpunkan 1,200 pelajar dari 50 sekolah sekitar Jakarta Raya, dengan pelbagai aktiviti bertujuan memupuk nilai kebangsaan, memperkukuh jati diri dan semangat perpaduan.

-- BERNAMA



#Indonesia #penyalahgunaan dadah #pelajar #vape