Skip to main content

Dunia

Indonesia buat persiapan hadapi 143.9 juta perantau pulang beraya

61749022290_mudik.jpg
Indonesia sedang membuat persiapan untuk tradisi pulang ke kampung halaman tahunan yang dikenali sebagai “mudik”. - Gambar fail

JAKARTA: Indonesia sedang membuat persiapan untuk tradisi pulang ke kampung halaman tahunan yang dikenali sebagai “mudik”, dengan dianggarkan 143.9 juta orang akan melakukan perjalanan semasa tempoh balik kampung Aidilfitri 2026, menurut unjuran kerajaan.

Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata anggaran itu dibuat berdasarkan tinjauan mobiliti nasional yang dijalankan menjelang tempoh perjalanan musim perayaan.

Advertisement

Malah sebelum tempoh perjalanan paling sibuk bermula -- dengan Aidilfitri dijangka seawal 20 Mac -- tanda-tanda pergerakan tahunan mudik sudah kelihatan sejak Jumaat (13 Mac).

Bernama memerhatikan kenderaan meninggalkan Jakarta dengan  pelbagai barangan yang diikat pada rak bumbung atau dibalut dengan kanvas di atas kereta -- pemandangan biasa ketika musim mudik apabila keluarga membawa hadiah, barangan serta bekalan untuk saudara-mara di kampung halaman.

Beberapa syarikat konsesi lebuh raya bertol di Indonesia turut menawarkan diskaun sementara di laluan terpilih bagi menggalakkan pemandu melakukan perjalanan di luar waktu puncak sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik secara lebih seimbang di laluan utama, khususnya di rangkaian  Lebuhraya Trans-Jawa dan Lebuhraya Trans-Sumatera.

Pengendali utama termasuk Jasa Marga, Astra Infra, Waskita Toll Road dan Hutama Karya menawarkan potongan sehingga kira-kira 30 peratus di beberapa seksyen tol terpilih, bermula seawal 15 Mac bagi aliran mudik keluar, manakala insentif perjalanan pulang dijadualkan bermula 26 Mac dengan laluan tertentu dilanjutkan hingga awal April.

Bagi mengurus lonjakan mobiliti itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai langkah, termasuk penambahan kapasiti pengangkutan, program perjalanan percuma serta dasar perjalanan berperingkat bagi mengurangkan kesesakan.

Sebelum ini, Dudy berkata kerajaan telah memperuntukkan 31,000 bas, 840 kapal laut, 254 feri, 372 pesawat dan 3,687 tren bagi menyokong tempoh perjalanan pulang ke kampung.

“Pihak berkuasa turut menganjurkan program mudik percuma melalui pengangkutan darat, laut dan rel yang menyasarkan 113,262 penumpang serta 12,140 motosikal,” katanya.

Dudy berkata kereta persendirian kekal sebagai pilihan paling popular dengan kira-kira 76.24 juta orang dijangka menggunakannya, diikuti motosikal dan bas.

Antara hab pengangkutan paling sibuk semasa tempoh perjalanan cuti perayaan dijangka termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, lintasan feri Merak-Bakauheni, stesen kereta api Pasar Senen serta terminal bas Pulogebang.

Bagi mengurangkan kesesakan semasa lonjakan perjalanan itu, kerajaan melaksanakan dasar bekerja dari mana-mana (WFA) pada 16 hingga 17 Mac bagi membolehkan orang ramai memulakan perjalanan lebih awal.

Pengaturan sama turut dilaksanakan dari 25 hingga 27 Mac ini apabila jutaan orang dijangka kembali ke bandar-bandar utama selepas cuti berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo berkata aspek keselamatan sepanjang tempoh perjalanan itu akan diselaraskan menerusi Operasi Ketupat 2026 yang melibatkan 161,243 anggota gabungan daripada pelbagai agensi.

Beliau berkata operasi itu bertujuan mengekalkan atau meningkatkan tahap kepuasan orang ramai terhadap pengurusan kerajaan bagi tempoh perjalanan musim perayaan selepas 90.9 peratus responden menyatakan berpuas hati pada 2025.

Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laluan yang disahkan selamat daripada bencana alam serta mengelakkan perjalanan ketika hujan lebat.

-- BERNAMA

Must Watch Video