Skip to main content

Dunia

Indonesia catat defisit belanjawan 54.6 trilion rupiah, kedudukan fiskal terkawal

Purbaya Yudhi Sadewa
Dari segi perbelanjaan, Purbaya berkata perbelanjaan negara berada pada 227.3 trilion rupiah atau 5.9 peratus daripada had siling APBN, berkembang kukuh sebanyak 25.7 peratus tahun ke tahun. - Gambar Facebook Purbaya

JAKARTA: Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) Indonesia mencatatkan defisit sebanyak 54.6 trilion rupiah atau 0.21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Januari, kerajaan menyifatkan kedudukan fiskal sebagai terkawal dan kekal dalam landasan ditetapkan bagi APBN 2026.

Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata baki utama berjumlah 4.2 trilion rupiah juga mencerminkan pengurusan fiskal yang berhemat oleh kerajaan.

Advertisement

Beliau berkata pencapaian APBN bagi tempoh tersebut mempamerkan prestasi yang kukuh dengan hasil kerajaan mencecah 172.7 trilion rupiah atau 5.5 peratus daripada sasaran APBN, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 9.5 peratus.

"Prestasi ini disokong oleh hasil cukai yang kekal utuh serta pendapatan negara bukan cukai, ia mula menunjukkan pemulihan di luar komponen tidak berulang tahun lepas," katanya pada sidang media disiarkan menerusi akaun YouTube Kementerian Kewangan pada Isnin.

Dari segi perbelanjaan, Purbaya berkata perbelanjaan negara berada pada 227.3 trilion rupiah atau 5.9 peratus daripada had siling APBN, berkembang kukuh sebanyak 25.7 peratus tahun ke tahun.

"Ini menunjukkan pecutan perbelanjaan kerajaan sejak awal tahun, terutamanya untuk menyokong program keutamaan, mengekalkan kuasa beli dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama," katanya.

Pembiayaan berada pada 105.1 trilion rupiah atau 15.2 peratus daripada sasaran, dilaksanakan secara terukur dan proaktif untuk mengekalkan kecairan dan kestabilan pasaran kewangan.

Secara keseluruhan, beliau berkata APBN 2026 terus berfungsi secara optimum sebagai penyerap kejutan serta enjin pertumbuhan ekonomi.

"Dengan pendapatan yang meningkat secara positif, perbelanjaan dipercepatkan dan defisit yang kekal terkawal, kami optimis APBN akan terus mengekalkan kestabilan, pada masa sama menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara sepanjang 2026," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video