Skip to main content

Dunia

Indonesia gantung penerbangsan antarabangsa: ANTARA mohon maaf tersalah lapor

X @antaranews
Butarbutar menegaskan bahawa insiden ini menjadi peringatan penting buat seluruh warga kerja ANTARA serta peluang untuk melakukan penambahbaikan menyeluruh dalam proses editorial dan langkah jaminan kualiti. - Foto X/ANTARA

JAKARTA: Agensi Berita ANTARA hari ini mengeluarkan permohonan maaf rasmi kepada kerajaan dan masyarakat selepas menerbitkan laporan tidak tepat bertajuk “Kerajaan hentikan penerbangan antarabangsa susulan konflik Iran” yang disiarkan pada Selasa jam 5.27 petang waktu Jakarta.

Presiden Direktur ANTARA, Benny Siga Butarbutar, menjelaskan bahawa siasatan dalaman mendapati wartawan dan editor yang terlibat gagal menyelaraskan kandungan berita dengan konteks asal serta petikan sebenar sumber.

Advertisement

Kesilapan itu menyebabkan data yang dipaparkan tidak tepat, fakta tersasar daripada konteks, dan proses verifikasi tidak dipatuhi mengikut prosedur operasi standard agensi berkenaan.

“Butiran yang dilaporkan dalam berita itu tidak wujud,” tegas Butarbutar.

Beliau menjelaskan bahawa Menteri Sekretaris Negara, Prasetyo Hadi, ketika itu sebenarnya menjawab soalan wartawan berhubung isu kemungkinan penugasan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) ke Gaza dalam peranan mereka di dalam Lembaga Keamanan (BoP).

Namun kandungan laporan tersebut langsung tidak berkaitan dengan konteks wawancara itu.

Menurutnya, ANTARA telah mengambil langkah pembetulan segera, termasuk menarik balik berita yang salah, mengeluarkan permohonan maaf rasmi, dan mengenakan tindakan tegas terhadap petugas editorial yang bertanggungjawab.

Butarbutar menegaskan bahawa insiden ini menjadi peringatan penting buat seluruh warga kerja ANTARA serta peluang untuk melakukan penambahbaikan menyeluruh dalam proses editorial dan langkah jaminan kualiti.

“Kami mengeluarkan klarifikasi ini sebagai bentuk ketelusan, akauntabiliti, serta tanggungjawab profesional kami sebagai wartawan di ANTARA,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan ucapan permohonan maaf kepada Menteri Sekretaris Negara, masyarakat umum, serta semua pihak berkepentingan maklumat.

“Sekali lagi, kami memohon maaf dengan tulus dan mengucapkan terima kasih atas perhatian semua pihak,” katanya.

 

Must Watch Video