DUNIA
Indonesia giat tangani kebakaran hutan meluas di Sumatera dan Kalimantan

BNPB sedang memantau secara rapi kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah di Sumatera dan Kalimantan, dengan laporan menunjukkan terdapat titik panas yang masih aktif dan telah dikawal. - Gambar fail/AP
JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) sedang memantau secara rapi kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah di Sumatera dan Kalimantan, dengan laporan menunjukkan terdapat titik panas yang masih aktif dan telah dikawal.
Jurucakap BNPB, Abdul Muhari berkata kebakaran yang berlaku di beberapa wilayah di Sumatera Selatan termasuk Musi Rawas, Muara Enim, Ogan Ilir dan Pali telah berjaya dipadamkan oleh pasukan kecemasan bersama setakat Rabu.
"Pihak berkuasa tempatan merekodkan 2,543 titik panas dari 1 Jan hingga 22 Julai, melibatkan kawasan seluas 43.08 hektar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Di Sumatera Barat, kebakaran yang bermula pada 12 Julai di Limapuluh Kota masih aktif berikutan kekurangan bekalan air. Usaha kini ditumpukan untuk mengelak kebakaran daripada merebak ke kawasan penempatan, khususnya di Nagari Tarantang.Di Padang Lawas, Sumatera Utara, kira-kira 435 hektar kawasan telah terjejas akibat kebakaran, dengan api di Kampung Marenu masih belum dipadam sepenuhnya. Bagaimanapun, kebakaran di Kampung Parsombaan yang bermula pada 20 Julai telah berjaya dipadamkan.
"Di Wilayah Simalungun, kebakaran melibatkan 60 hektar telah berjaya dikawal pada Khamis, dan usaha memadam kebakaran masih diteruskan di Panai Hilir, Labuhanbatu," tambah Abdul Muhari.
Beliau turut memaklumkan bahawa wilayah Riau, yang menjadi kawasan tumpuan dalam pencegahan kebakaran, telah mencatatkan kawasan terjejas seluas 1,144.90 hektar setakat tahun ini. Usaha pemadaman masih berjalan.
Di Kalimantan Barat, jumlah titik panas menurun daripada 17 kepada tiga pada Khamis, susulan pengisytiharan amaran kecemasan di wilayah Kubu Raya yang meningkatkan usaha pengawalan kebakaran.
Kebakaran di Kota Palangkaraya dan wilayah Kotawaringin Timur, Kalimantan Tengah yang melibatkan kawasan seluas 201.03 hektar juga berjaya dipadamkan oleh pasukan gabungan, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami