Skip to main content

Dunia

Indonesia guna dana negara bayar hutang projek HSR Whoosh kepada China

71746998388_WhooshIndonesia.jpg
Projek HSR Whoosh sepanjang 142 kilometer itu, yang beroperasi secara komersial sejak 2023, menelan kos sekitar AS$7.3 bilion. -Gambar fail

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengesahkan hutang projek kereta api laju Jakarta-Bandung (HSR Whoosh) kepada China akan diselesaikan menggunakan bajet negara, ketika rundingan berhubung mekanisme pembayaran masih diteruskan.

Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi, berkata keputusan itu selaras dengan pendirian Presiden Prabowo Subianto bahawa kerajaan perlu mengambil tanggungjawab terhadap struktur kewangan projek berkenaan.

Advertisement

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah hutang yang perlu dibayar.

Projek HSR Whoosh sepanjang 142 kilometer itu, yang beroperasi secara komersial sejak 2023, menelan kos sekitar AS$7.3 bilion.

Tiga perempat daripada jumlah itu dibiayai melalui pinjaman China Development Bank.

Laluan tersebut kini mengangkut antara 20,000 hingga 30,000 penumpang setiap hari.

Menurut Prasetyo, perbincangan teknikal mengenai mekanisme bayaran sedang dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif dana kekayaan negara Danantara, Rosan Perkasa Roeslani.

Rundingan juga melibatkan usaha penyusunan semula hutang susulan kos projek yang meningkat dan hasil operasi yang tidak mencukupi untuk menampung pembayaran faedah.

Sebelum ini, beberapa menteri Kabinet menggesa supaya tanggungan hutang tidak menggunakan bajet negara dan sebaliknya diserap melalui Danantara, yang menerima dividen besar daripada syarikat milik negara.

Namun, keputusan terkini memperlihatkan kerajaan Pusat bersedia campur tangan demi kestabilan kewangan projek.

Pada 20 Jan lalu, Menteri Penyelarasan Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Agus Harimurti Yudhoyono, turut membincangkan isu penyusunan semula hutang bersama Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa.

Beliau menegaskan bahawa rundingan dengan China perlu mengambil kira keselamatan fiskal syarikat yang terlibat.

Projek Whoosh sebelum ini berdepan lebihan kos lebih AS$1 bilion akibat faktor pandemik COVID-19 dan kelewatan pengambilan tanah, selain permintaan penumpang yang masih rendah berbanding jangkaan awal.

Ini menambah tekanan ke atas operator, Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), untuk merombak semula struktur kewangan.

Presiden Prabowo sebelum ini menegaskan projek berkenaan tidak wajar dinilai semata-mata dari aspek kewangan, sebaliknya melalui manfaat sosial seperti mengurangkan kesesakan, masa perjalanan dan pencemaran. 

Must Watch Video