KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan berniat jahat, susulan laporan sebuah media antarabangsa yang didakwa cuba mencemarkan reputasi agensi itu.
Dalam satu kenyataan, SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengulas dakwaan berbentuk tohmahan atau spekulatif, khususnya melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Advertisement
“Sebarang dakwaan bahawa siasatan SPRM dipengaruhi kepentingan peribadi adalah tidak benar dan ditolak sama sekali,” menurut kenyataan itu.
SPRM menegaskan semua siasatan dijalankan secara profesional, berpandukan bukti dan selaras dengan peruntukan undang-undang, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Menurut suruhanjaya itu, sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa dalam kerangka perundangan negara.
SPRM turut menjelaskan bahawa fungsi dan peranannya diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, serta tertakluk kepada pemantauan lima badan bebas.
“Sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya perlu dinilai menerusi sistem perundangan dan proses keadilan yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.