INTERNATIONAL
Indonesia hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar, Thailand susulan gempa bumi

Kementerian Luar Indonesia mengumumkan penghantaran pasukan khas Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR) dan Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT). - Gambar Reuters
JAKARTA: Indonesia menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuk sokongan logistik bernilai AS$1 juta, bagi membantu usaha penyampaian bantuan di Myanmar dan Thailand susulan gempa bumi kuat pada magnitud 7.7 yang melanda kedua-dua negara itu pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Indonesia mengumumkan penghantaran pasukan khas Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR) dan Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT).
"Pakej bantuan turut merangkumi bekalan penting seperti ubat-ubatan, makanan, tempat perlindungan sementara serta penapis air bersih. Pasukan tindak balas diselaraskan bagi memastikan penghantaran yang berkesan berdasarkan keperluan dan keutamaan kawasan terjejas," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Luar Sugiono mengesahkan dua wakil Indonesia telah menyertai Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT), yang tiba di Myanmar bersama anggota ASEAN lain."Pasukan Mencari dan Menyelamat Indonesia (INASAR) dijadual berlepas ke Myanmar pada 1 April, manakala EMT dan bantuan logistik akan dihantar dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur pada 3 April," katanya pada Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diadakan secara maya pada Ahad.
Sugiono turut menghargai usaha Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) dalam menggerakkan bantuan kemanusiaan.
"Bantuan kemanusiaan mesti disampaikan dengan segera dan secara inklusif. Saya menggesa kita semua mengetepikan perbezaan dan saling menyokong tanpa pengecualian," katanya.
Memandangkan skala bencana ini, beliau berkata bantuan dan koordinasi rapat jangka panjang dalam kalangan negara ASEAN amat diperlukan bagi usaha pemulihan.
"Saya merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Myanmar dan Thailand. Doa kami bersama mereka, dan Indonesia bersedia memberikan bantuan yang diperlukan," kata Sugiono.
Dalam mesyuarat itu, Menteri-menteri luar ASEAN bersetuju untuk memperkukuh mekanisme tindak balas kecemasan serantau, mengerahkan pasukan ASEAN-ERAT, serta memudahkan pengagihan bantuan melalui Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) bagi memastikan usaha bantuan yang cepat dan berkesan.
Mereka turut menyeru agar persekitaran yang kondusif diwujudkan bagi membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan serta menggesa usaha perdamaian nasional di Myanmar bagi mencapai keamanan jangka panjang, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami