Skip to main content

Dunia

Indonesia, Jepun tandatangani memorandum kerjasama mineral kritikal, tenaga nuklear

41643988222_TBBahlilLahadalia.jpg
Bahlil berkata, Indonesia bersikap terbuka terhadap kolaborasi dengan kerajaan dan perniagaan Jepun dalam menguruskan sumber mineral kritikalnya. - Gambar fail

JAKARTA: Indonesia dan Jepun bersetuju untuk bekerjasama dalam sektor mineral kritikal dan tenaga nuklear bertujuan memperkukuh jaminan tenaga serta menyokong pembangunan teknologi tenaga masa hadapan, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) Indonesia.

Kementerian itu memaklumkan, kerjasama berkenaan dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) semasa mesyuarat dua hala antara Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Ryosei Akazawa, di luar  Forum Perniagaan dan Peringkat Menteri Jaminan Tenaga Indo-Pasifik (IPEM) di Tokyo, pada Ahad. 

Advertisement

Menurut ESDM, kerjasama dalam sektor mineral kritikal akan menumpukan kepada pengukuhan rantaian bekalan global agar lebih selamat dan boleh dipercayai, selain menyokong pembangunan teknologi tenaga bersih melalui pemanfaatan sumber mineral strategik Indonesia.

Sementara itu, kerjasama dalam tenaga nuklear akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan teknologi dengan mengutamakan piawaian keselamatan yang tinggi, membolehkan Indonesia mendapat manfaat daripada pengalaman serta keupayaan teknologi Jepun dalam membangunkan penyelesaian tenaga rendah karbon.

Bahlil berkata, Indonesia bersikap terbuka terhadap kolaborasi dengan kerajaan dan perniagaan Jepun dalam menguruskan sumber mineral kritikalnya.

“Sekiranya kita dapat melaksanakan kerjasama ini, saya fikir ia adalah satu perkara yang baik,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, Indonesia memiliki kira-kira 43 peratus daripada simpanan nikel dunia dan merupakan antara pengeluar terbesar bauksit serta timah, selain memiliki tembaga dan unsur nadir bumi.

Sementara itu, Akazawa menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan jaminan tenaga di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Jepun sendiri telah menyediakan simpanan tenaga strategik sebagai langkah persediaan,” katanya seperti yang dipetik dalam kenyataan itu.

Akazawa turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Indonesia dalam memberikan permit eksport gas asli cecair (LNG) ke Jepun dan mengulangi komitmen Tokyo untuk terus menyokong projek kerjasama tenaga dengan Jakarta.

Menurut ESDM, kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan mengenai pengukuhan jaminan tenaga serantau, termasuk kerjasama dalam rantaian bekalan LNG dan arang batu, serta mempercepatkan projek peralihan tenaga di bawah rangka kerja Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).

Kementerian itu menambah bahawa ini termasuk operasi Loji Janakuasa Geoterma Sarulla dan penyiapan Loji Janakuasa Sisa-kepada-Tenaga Legok Nangka sebagai sebahagian daripada perkongsian tenaga strategik Indonesia-Jepun yang lebih luas.

-- BERNAMA

Must Watch Video