DUNIA
Indonesia komited tidak akan sertai sebarang sekatan terhadap Rusia - Pegawai Rusia

Moscow sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Rusia mampu menghadapi tekanan sekatan yang dikenakan oleh Barat.
JAKARTA: Kepimpinan Indonesia membuat keputusan tegas untuk tidak menyertai sekatan terhadap Rusia, kata wakil perdagangan Rusia di Indonesia, Alexander Masaltsev pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Saya ingin menekankan pendirian tegas kepimpinan (Indonesia) ketika ini yang tidak menyertai sekatan ekonomi terhadap Rusia. Pihak yang mencetuskan sekatan ini hanya menanggung kerugian dan kehilangan keuntungan akibat kehilangan kedudukan dalam pasaran Rusia yang menguntungkan.
"Sementara itu, ekonomi Rusia memperoleh rangsangan tambahan untuk pembangunan dan menghapuskan ketidakseimbangan dalam hubungan perdagangan luar antara blok Barat dan Timur," kata Masaltsev dalam satu acara perniagaan anjuran Pusat Eksport Moscow.
Menurutnya, penyertaan pelbagai wakil dalam acara itu "mengesahkan minat" kumpulan perniagaan dari Rusia dan Indonesia untuk terus memperkukuh kerjasama pelbagai bidang yang saling menguntungkan.Perluasan hubungan perniagaan, peningkatan dagangan dan pelaburan khususnya dalam sektor teknologi maklumat dan teknologi tinggi, adalah "keutamaan mutlak" dalam kerjasama dua hala antara Rusia dan Indonesia, kata Masaltsev.
"Dan kami melihat sikap ini turut dikongsi bersama. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kerjasama perdagangan dan ekonomi antara negara berkembang dengan cukup dinamik ... Indonesia adalah rakan dagang dan ekonomi Rusia yang terbesar dan paling berpotensi di Asia Tenggara," katanya.
Acara itu disertai 15 syarikat berpusat di Moscow yang menawarkan penyelesaian dalam bidang kewangan, teknologi inovatif dan pendigitalan, serta diplomat daripada Kedutaan Rusia di Indonesia, anggota Misi Perdagangan Rusia, Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia (KADIN), Rumah Rusia di Jakarta dan Persatuan Persahabatan Rusia-Indonesia.
Moscow sebelum ini berulang kali menyatakan Rusia mampu menghadapi tekanan sekatan yang dikenakan oleh Barat.
Rusia juga menegaskan yang Barat tidak mempunyai keberanian untuk mengakui kegagalan sekatan itu, malah pegawai Barat beberapa kali turut menyuarakan pandangan yang sekatan itu tidak berkesan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami