JAKARTA: Sekatan perjalanan domestik di Indonesia mula dikuatkuasakan sejak pengumumannya seminggu lalu melarang orang ramai daripada melakukan perjalanan pulang ke kampung.

Tindakan itu dilihat sebagai satu usaha kerajaan Indonesia untuk melarang pergerakan 'mudik' atau balik kampung menjelang sambutan Aidilfitri, yang mana kebiasaannya jutaan penduduk di negara itu membuat perjalanan besar-besaran ke kampung halaman.

Di seluruh bandar Jakarta, anggota polis dikerahkan di setiap sekatan bagi menjalankan pemeriksaan dokumen dan mencegah kemasukan individu tanpa kebenaran khas daripada meninggalkan kota itu.

Indonesia turut melaksanakan larangan perjalanan melalui udara, darat, laut, dan kereta api yang diumumkan pada bulan April yang berkuatkuasa antara 6 hingga 17 Mei ini.

Pihak berkuasa kesihatan melihat acara tradisi ‘mudik’ itu tidak dapat dilakukan tahun ini berikutan penemuan varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya, termasuk dua kes varian B.1.617 dari India yang dikesan pada minggu ini.



Walaupun tinggi risikonya, masih ada segelintir pihak yang masih cuba nasib untuk melepasi sekatan pergerakan yang dilakukan sejak awal penguatkuasaan itu bermula.

Menurut pihak polis, ada orang yang sanggup bersembunyi di belakang trak sayur semata-mata untuk dapat meraikan perayaan bersama keluarga.

Bagi Basuki Riyanto, 44, dia tetap akan mencuba pelbagai kaedah untuk pulang ke kampung kerana itu sudah menjadi tradisi buatnya.

"Saya tetap akan berusaha untuk pulang kerana ini sudah menjadi tradisi walaupun sudah dua tahun tidak pulang.

"Saya akan berusaha untuk terus pulag ke kampung tanpa mengira jika ada syarat penutupan,” tegasnya sambil mengenang nasib diri akibat tidak dapat pulang ke provinsi Jawa Tengah.

Indonesia telah melaporkan sejumlah 1,691,658 kes COVID-19 dengan 46,349 kematian sekali gus memegang rekod tertinggi di Asia Tenggara.

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan terdapat dua kes pertama varian India telah dikenal pasti di Jakarta.

Untuk rekod, sebanyak 13 kes varian B.117 yang pertama kali dikesan di United Kingdom sebelum ini ditemui di Indonesia.