Skip to main content

Malaysia

Amir Hamdan tinggalkan Prasarana selepas hampir lapan tahun berkhidmat

Prasarana Malaysia Berhad hari ini mengumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), Amir Hamdan akan menamatkan perkhidmatannya selepas hampir lapan tahun bersama syarikat pengangkutan awam itu. Sumber: Prasarana
Amir Hamdan menerajui pelbagai inisiatif transformasi operasi dan peningkatan kecekapan perkhidmatan Prasarana. - Gambar ihsan Prasarana

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad hari ini mengumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), Amir Hamdan akan menamatkan perkhidmatannya selepas hampir lapan tahun bersama syarikat pengendali pengangkutan awam itu.

Bagaimanapun, Prasarana tidak menyatakan tarikh akhir perkhidmatan Amir dalam kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini.

Advertisement

Keputusan tersebut hadir ketika sektor pengangkutan awam berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kekerapan kerosakan dan kelewatan perkhidmatan yang sering menjadi rungutan pengguna, sekali gus menimbulkan tekanan berterusan kepada kerajaan dan pengendali.

Dalam kenyataan sama, Prasarana memaklumkan, keputusan itu dibuat atas sebab peribadi, selaras dengan perancangan Amir untuk langkah kerjaya seterusnya.

Amir menyertai Prasarana pada 2019 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, operasi serta strategi korporat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah memegang beberapa jawatan tinggi termasuk Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Amir memainkan peranan penting dalam memacu pelbagai inisiatif transformasi serta memperkukuh operasi syarikat, khususnya dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat.

“Beliau turut menyumbang secara signifikan dalam memastikan operasi Prasarana terus relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran industri,” menurut kenyataan itu.

Prasarana turut merakamkan penghargaan atas sumbangan serta kepimpinan Amir sepanjang menerajui kumpulan tersebut.

Menurut Prasarana, maklumat lanjut berhubung kesinambungan kepimpinan syarikat akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi dari semasa ke semasa.

Must Watch Video