JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang menjalankan operasi pembenihan awan fasa kedua mulai hari ini hingga 2 Sept bagi mengurangkan pencemaran udara, terutamanya di ibu negara dan sekitarnya.

Keperluan operasi bergantung kepada kehadiran awan di kawasan tertentu seperti diramalkan oleh pakar meteorologi, menurut agensi mitigasi bencana (BNPB).

"Pencemaran udara baru-baru ini, terutama pada musim kemarau, semakin menjejaskan kesihatan dan aktiviti masyarakat tempatan," kata jurucakapnya Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Oleh itu kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pembenihan awan dari 19 hingga 21 Ogos, bertujuan untuk membendung pencemaran udara baru-baru ini di Jakarta.

BNPB menjalankan operasi bersama Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, dan Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia.

Sekurang-kurangnya 800 kilogram bahan benih natrium klorida ditabur dari pesawat Air Force Casa C-212 Aviocar pada kedudukan 10,000 kaki.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan kepada gabenor dan datuk bandar untuk mengawal pencemaran udara di Jabodetabek, meliputi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, dan Bekasi, berkuat kuasa 22 Ogos.

Arahan itu menggariskan langkah untuk tugas-tugas hibrid, had kenderaan, pengangkutan yang lebih baik, ujian pelepasan yang lebih ketat, penggunaan pelitp muka, pengurusan alam sekitar, penyelesaian lestari dan kawalan sisa.

Matlamatnya adalah untuk mengimbangi kerja dari rumah dan pejabat serta mengurangkan pencemaran daripada sektor pengangkutan dan industri, kata ketua pengarah pembangunan pentadbiran wilayah, Safrizal ZA.

Beliau juga menekankan keperluan untuk mengimbangi kualiti udara dengan kesejahteraan ekonomi pasca COVID-19 semasa pelaksanaan.

-- BERNAMA