Indonesia: Presiden Prabowo arah kos haji diturunkan, giliran menunggu dipendekkan kepada 26 tahun

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan Kementerian Haji dan Umrah untuk menurunkan kos menunaikan ibadah haji dan mempercepatkan tempoh menunggu jemaah Indonesia daripada purata 40 tahun kepada 26 tahun. - Gambar fail
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan Kementerian Haji dan Umrah untuk menurunkan kos menunaikan ibadah haji dan mempercepatkan tempoh menunggu jemaah Indonesia daripada purata 40 tahun kepada 26 tahun.
Ketika mempengerusikan Sidang Kabinet Paripurna sempena setahun pentadbirannya di Istana Negara, di sini, pada Isnin, Prabowo berkata, langkah itu boleh dicapai melalui penjimatan kos dan pengurusan yang bersih.
“Menteri Haji tidak hadir kerana kini berada di Arab Saudi untuk berbincang dengan pihak berkenaan. Saya minta kos haji mesti terus diturunkan, boleh dilakukan melalui kecekapan dan pelaksanaan yang telus,” katanya.
Presiden turut menyatakan keyakinan bahawa sasaran tersebut boleh dicapai memandangkan kerajaan kini telah menubuhkan Kementerian Haji dan Umrah, berbanding sebelum ini yang diuruskan oleh Badan Penyelenggara Haji.Menurut beliau, penubuhan kementerian itu dibuat atas permintaan Kerajaan Arab Saudi, yang menegaskan urusan haji perlu dikendalikan oleh pegawai bertaraf menteri.
“Kita wujudkan Kementerian Haji atas permintaan kerajaan Arab Saudi. Mereka kata, ‘Kami di sini ada Menteri Haji, jadi kami perlu berurusan dengan menteri juga.’ Jadi kita sesuaikan,” jelas Prabowo.
Dalam ucapannya, Presiden turut mendedahkan bahawa Kerajaan Arab Saudi buat pertama kali dalam sejarah telah meminda undang-undang mereka bagi membenarkan negara asing membeli tanah di Tanah Suci.
Langkah itu membuka peluang kepada kerajaan Indonesia untuk merealisasikan projek Kampung Indonesia di Kota Mekah, hasil rundingan berterusan antara kedua-dua negara.
Prabowo berkata, Arab Saudi turut menawarkan beberapa tapak strategik yang tidak jauh dari Masjidil Haram, namun pembelian perlu dilakukan melalui proses tender terbuka yang turut disertai sekitar 90 entiti lain.
“Ketika saya bertemu Menteri Luar Negeri Arab Saudi, beliau beritahu bahawa tender akan ditutup pada 30 Oktober. Tapi yang menyertai sudah 90 entiti lain," jelas Presiden Indonesia itu lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami