DUNIA
Indonesia sahkan kapal perang AS lalui Selat Melaka

Menurut Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (Puspen TNI), kapal itu sedang belayar dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi melalui Selat Singapura dan Selat Melaka. - BERNAMA
JAKARTA: Tentera Indonesia berkata pada Sabtu bahawa tindakan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Nimitz yang belayar melalui Selat Melaka adalah selaras dengan undang-undang maritim antarabangsa ketika kali terakhir dikesan minggu lepas.
Menurut Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (Puspen TNI), kapal itu sedang belayar dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi melalui Selat Singapura dan Selat Melaka.
"Kapal itu sedang melaksanakan hak laluan transit berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982," kata Ketua Puspen TNI Mejar Jeneral Kristomei Sianturi dalam satu kenyataan.
Beliau berkata konvensyen itu membenarkan kapal perang asing melalui selat antarabangsa tanpa notis awal, asalkan ia tidak mengancam keselamatan negara pesisir.Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan awam selepas tular satu rakaman video menunjukkan kapal berkenaan berada berhampiran Wilayah Aceh pada 17 Jun, ketika ketegangan semakin meningkat di Timur Tengah melibatkan Israel dan Iran.
Menurut tentera laut Indonesia, USS Nimitz kali terakhir dikesan dengan sistem pengecaman automatik (AIS) aktif di perairan utara Belawan, berhampiran Medan di Sumatera Utara, pada Selasa.
Kristomei berkata Angkatan Tentera Indonesia terus memantau semua aktiviti maritim asing di perairan negara dan kekal berwaspada dalam mempertahankan kedaulatan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami