Skip to main content

Malaysia

Kebakaran besar musnahkan 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, Sandakan

caption: Satu kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 buah rumah kediaman atas air jenis tidak kekal di Kampung Bahagia, Sandakan, awal pagi tadi.
Satu kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 buah rumah kediaman atas air di Kampung Bahagia, Sandakan, awal pagi tadi. - Foto JBPM Sabah

SANDAKAN: Satu kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 buah rumah kediaman atas air jenis tidak kekal di Kampung Bahagia, awal pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.32 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.

Advertisement

Komander Operasi Bomba Zon Sandakan, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran melibatkan kawasan penempatan seluas kira-kira 300 meter persegi yang setakat ini dilaporkan musnah sepenuhnya.

Operasi pemadaman melibatkan kekuatan seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan serta Kinabatangan, dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Menurut beliau, pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan kebakaran berikutan laluan sempit yang menghalang pergerakan jentera.

Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka, ditambah faktor angin kencang dan kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dengan sumber air diperoleh daripada lori tangki serta pili bertekanan milik sebuah kilang berhampiran.

Setakat ini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan kerja pemadaman masih giat dijalankan.

Tiada laporan mengenai mangsa dilaporkan setakat ini.

Pihak bomba akan terus memantau keadaan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Must Watch Video