JAKARTA: Indonesia meletakkan sasaran untuk menyertai Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam tempoh dua hingga tiga tahun, satu langkah penting dalam peralihan ekonomia menuju Indonesia Emas 2045.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonominya, Airlangga Hartarto menekankan kepentingan perkongsian global itu dalam strategi negara untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing serta mengelak perangkap pendapatan sederhana.

OECD yang ditubuhkan pada tahun 1961 dengan 38 negara anggota dan beribu pejabat di Paris, memberi tumpuan kepada memacu kemajuan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, Airlangga berkata, perbincangan antara Indonesia dan OECD mengenai keahlian negara itu dimulakan pada 20 Feb.

"Sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang dipelawa untuk terlibat dalam perbincangan keahlian dengan OECD dan sebagai ekonomi terbesar di rantau ini dengan pertumbuhan terpantas di dunia, Indonesia komited untuk memperdalam integrasi dan membuka jalan bagi pertumbuhan transformasi dan daya tahan," katanya.

Berikutan keputusan untuk memulakan perbincangan itu, kementerian menggariskan pelan hala tuju bertujuan mengenal pasti perbezaan dasar terhadap piawaian OECD.

Pelan Hala Tuju Keahlian akan dibentangkan pada Mesyuarat Peringkat Menteri OECD pada Mei diikuti dengan penjajaran dasar dan kawal selia.

Proses keahlian Indonesia dijangka mempercepat pembaharuan struktur yang mampan serta meningkatkan dasar dan peraturan, menyelaraskannya dengan piawaian OECD.

Langkah itu dijangka meningkatkan keyakinan global, perdagangan dan pelaburan terutamanya dalam kerjasama teknologi dan inovasi.

Ia juga akan meluaskan akses pasaran untuk eksport tempatan dan memperkukuh sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan infrastruktur.

Sementara itu, Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann menekankan kepentingan Indonesia sebagai ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan demokrasi ketiga terbesar di dunia.

"Melalui perbincangan keahlian, OECD akan menyediakan sokongan kepada Indonesia dalam perjalanan reformasi ke arah mencapai visi untuk menjadi ekonomi maju menjelang 2045," katanya. - BERNAMA