Anwar arah KKR senarai semula status projek, rekod prestasi kontraktor

Anwar menegaskan langkah itu penting untuk mengubah budaya kerja sedia ada agar pemantauan tidak hanya dilakukan selepas projek disiapkan atau apabila timbul masalah. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyenaraikan semula semua projek di bawah kementerian itu serta merekodkan prestasi pelaksanaan kontraktor secara terperinci bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut jadual.
Beliau menegaskan, langkah itu penting untuk mengubah budaya kerja sedia ada agar pemantauan tidak hanya dilakukan selepas projek disiapkan atau apabila timbul masalah.
“Apa yang perlu dilakukan ialah senaraikan semua projek yang sedang berjalan, nyatakan jumlahnya dan pastikan prestasi kontraktor direkodkan. Jangan tunggu sehingga projek siap baru sedar ia lewat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KKR di ibu negara, Isnin.
Anwar turut mengumumkan bahawa mesyuarat pemantauan akan diadakan secara bulanan di peringkat kementerian dan negeri, termasuk di Sabah, Sarawak, Perlis dan Kelantan, bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut jadual.
“Jika ada kontraktor yang sambil lewa dan lewat, tindakan tegas perlu diambil. Pemantauan mesti rapi dan tindakan segera perlu dilaksanakan,” tegasnya.
Beliau juga menekankan keperluan pegawai kerajaan untuk turun padang bagi memahami keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
“Kadang-kadang saudara lebih faham apa yang diperlukan di bawah berbanding perancangan di atas. Sebab itu kita perkenalkan inisiatif Kampung Angkat dan Sejati Madani, supaya tidak berlaku jurang antara pusat dan rakyat luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa peningkatan bajet pembangunan tidak akan membawa makna sekiranya pelaksanaan projek masih perlahan dan tidak berkesan. Beliau menegaskan bahawa fokus utama kerajaan bagi tahun 2025–2026 adalah pelaksanaan, bukan lagi perancangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


