DUNIA
Indonesia siasat jejak radioaktif pada udang dieksport ke AS

Kerajaan Indonesia menjalankan siasatan menyeluruh susulan tindakan FDA yang mengenakan larangan import dan amaran kesihatan selepas isotop radioaktif Cesium-137 dikesan pada produk udang sejuk bekunya. -Gambar hiasan/Adobe Stock Photo
JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemungkinan pencemaran radioaktif dalam produk udang sejuk beku yang dieksport ke Amerika Syarikat, lapor Antara News.
Ringkasan AI
- FDA Amerika Syarikat mengesan isotop radioaktif Cesium-137 dalam udang sejuk beku dari Indonesia, mencetuskan larangan import dan amaran kesihatan.
- Kerajaan Indonesia menjalankan siasatan menyeluruh melibatkan BAPETEN, BRIN dan Kementerian berkaitan untuk mengenal pasti punca pencemaran dan langkah pemulihan.
- Insiden ini menjejaskan reputasi eksport makanan laut Indonesia, dengan nilai eksport udang ke AS mencecah AS$287 juta pada suku pertama 2025.
Produk yang terjejas termasuk udang mentah beku jenama Great Value yang dijual di rangkaian Walmart di 13 negeri AS.
Sebagai langkah berjaga-jaga, FDA telah mengeluarkan larangan import terhadap produk dari BMS Foods dan menasihatkan orang awam agar tidak menjual, memakan atau menghidangkan udang dari lot yang terlibat.
Walaupun tahap Cs-137 yang dikesan berada di bawah paras intervensi FDA (1200 Bq/kg), agensi itu menegaskan bahawa pendedahan berpanjangan boleh membawa risiko kesihatan.
Di Indonesia, Menteri Alam Sekitar Hanif Faisol Nurofiq dan Menteri Kelautan dan Perikanan Sakti Wahyu Trenggono telah melawat kemudahan pemprosesan udang di Cikande, Serang, yang dipercayai memperoleh bekalan dari Lampung.
“Kehadiran cesium dalam pemprosesan udang adalah sangat luar biasa dan kami akan siasat secara menyeluruh,” kata Hanif.
Agensi Nuklear Indonesia (BAPETEN), bersama BRIN dan Kementerian Perdagangan, kini sedang menilai punca pencemaran dan langkah pemulihan.
Ketua Shrimp Club Indonesia, Andi Tamsil, menegaskan bahawa pencemaran tidak berpunca daripada akuakultur, sebaliknya kemungkinan besar daripada faktor luaran yang belum dikenal pasti.
Insiden ini mencetuskan kebimbangan terhadap reputasi eksport makanan laut Indonesia, yang mencatat nilai eksport udang ke AS sebanyak AS$287 juta pada suku pertama 2025.
Kerajaan berikrar akan memperketatkan kawalan kualiti dan bekerjasama dengan pihak berkuasa AS bagi memastikan keselamatan makanan dan pemulihan keyakinan pasaran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami