JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penahanan 72 individu yang disyaki sengaja mencetuskan kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan menjejaskan beberapa kawasan di Asia Tenggara, lapor CNA..
Tindakan penguatkuasaan itu diambil ketika negara berkenaan berdepan kebakaran berskala besar yang dipengaruhi fenomena El Nino dan musim kemarau berpanjangan.
Pengarah Jenayah Khas Agensi Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia (Bareskrim), Mohammad Irhamni, berkata kesemua suspek ditahan dan sedang disiasat atas dakwaan melakukan pembakaran terbuka bagi membersihkan kawasan untuk tujuan perladangan pada kos yang lebih rendah.
Menurut beliau, siasatan melibatkan 89 kes kebakaran hutan dan tanah di lima wilayah di Kalimantan serta empat wilayah di Sumatera.
Penyiasat juga sedang meneliti rekod kewangan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pembabitan atau pembiayaan daripada syarikat perladangan dalam aktiviti pembukaan tanah tersebut.
Di bawah undang-undang alam sekitar Indonesia, suspek yang didapati bersalah boleh dikenakan denda serta hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melawat Kalimantan Tengah pada Sabtu bagi meninjau kawasan terjejas yang melibatkan lebih 7,600 hektar tanah terbakar, selain mengarahkan penggunaan helikopter pengebom air dan aset lain untuk membantu operasi memadam kebakaran.
Setakat ini, sekurang-kurangnya empat syarikat perladangan di Kalimantan Barat sedang disiasat atas dakwaan menggunakan kaedah pembakaran bagi membersihkan tanah.
Jika terbukti bersalah, syarikat terbabit boleh berdepan tindakan termasuk pembatalan permit operasi.