DUNIA
Indonesia tekankan kepentingan kerjasama untuk maju dalam industri EV

Sebagai ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia kini menarik pelabur antarabangsa dalam sektor automotif EV dan perlombongan nikel. - Gambar hiasan
JAKARTA: Kerjasama dengan negara yang berpengalaman dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV), khususnya China, adalah penting bagi industri EV Indonesia, kata seorang pemimpin industri perniagaan negara itu kepada Xinhua.
Ringkasan AI
- Kerjasama dengan China penting - Indonesia melihat kerjasama dengan negara berpengalaman seperti China sebagai kunci memperkukuh industri kenderaan elektrik (EV), terutama dalam pembangunan komponen seperti bateri, elektromotor dan cip semikonduktor.
- Pelaburan dan kapasiti pengeluaran meningkat - Pelaburan besar-besaran oleh syarikat EV antarabangsa (termasuk BYD dan Geely) mencecah 15 trilion rupiah, dengan Indonesia kini mempunyai berpuluh-puluh kilang EV dan kapasiti tahunan yang tinggi bagi kereta, bas dan motosikal elektrik.
- Fokus kepada pembangunan industri tempatan - Walaupun Indonesia mempunyai rizab nikel terbesar dunia, masih banyak komponen EV diimport. Negara ini mahu membina industri sokongan tempatan untuk cipta peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan meningkatkan keupayaan hiliran.
Setiausaha Agung Persatuan Industri Automotif Indonesia (GAIKINDO) Kukuh Kumara berkata dalam satu temu bual bahawa peralihan kepada EV telah menarik perhatian umum di Indonesia, disokong oleh dasar kerajaan yang agresif untuk memperkukuh industri hiliran nikel.
Namun, pembangunan ekosistem hiliran yang lengkap memerlukan lebih banyak komponen.
"Daripada proses perlombongan kepada penghasilan bateri yang sedia digunakan, terdapat pelbagai proses besar yang terlibat. Tiga komponen utama EV ialah bateri, elektromotor, dan cip semikonduktor untuk pengurusan bateri. Selain itu, bateri EV sangat khusus - bahkan EV daripada jenama sama boleh menggunakan jenis bateri yang berbeza dengan pelbagai komponen," katanya.
Sebagai ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia kini menarik pelabur antarabangsa dalam sektor automotif EV dan perlombongan nikel.
Berdasarkan data Kementerian Pelaburan dan Industri Hiliran, antara 2024 hingga Mac 2025, tujuh pengeluar EV termasuk BYD, Citroen, Geely dan VinFast telah melabur di Indonesia dengan jumlah pelaburan mencecah 15 trilion rupiah (US$921.9 juta). Kesemua syarikat ini membawa kapasiti pengeluaran gabungan sehingga 280,000 unit setahun.
Ketika ini, Indonesia mempunyai sembilan pengeluar kereta elektrik, tujuh fasiliti pengeluaran bas elektrik, dan 63 kilang motosikal dua dan tiga roda elektrik. Menurut data Kementerian Perindustrian, kapasiti pengeluaran tahunan ialah 70,600 unit untuk kereta elektrik, 3,100 unit untuk bas elektrik dan 2.28 juta unit bagi motosikal elektrik dua dan tiga roda.
Dari segi bahan mentah, Indonesia kekal sebagai pemegang rizab nikel terbesar dunia, menyumbang antara 40 hingga 45 peratus daripada bekalan global.
Setakat 2023, Indonesia mempunyai sumber nikel dalam bentuk bijih sebanyak 18.5 bilion tan, dengan rizab berjumlah 5.3 bilion tan, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral. Sehingga Januari 2024, sebanyak 54 loji peleburan nikel beroperasi aktif di seluruh negara.
Walaupun banyak syarikat telah melabur dalam sektor perlombongan dan pembuatan EV, Kukuh menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada industri komponen bateri.
"Kita perlu memperluas industri, terutamanya bagi tiga komponen utama termasuk elektromotor yang masih diimport. Begitu juga cip semikonduktor untuk sistem pengurusan bateri masih belum dihasilkan secara tempatan," katanya.
"Kita mahu menggalakkan pertumbuhan industri sokongan sejajar dengan pembangunan industri EV. Oleh itu, kita perlu kenal pasti komponen yang boleh dikeluarkan di dalam negara," tambahnya.
Beliau berkata pembangunan lebih banyak industri dalam rantaian bekalan EV akan memperkukuh keupayaan hiliran Indonesia, membuka peluang pekerjaan dan memudahkan pemindahan teknologi. Justeru itu, "China menarik perhatian kerana kekuatan mereka dalam industri komponen EV. Kami menggalakkan syarikat tempatan untuk belajar daripada firma China," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami