KUCHING: Malaysia merupakan antara 17 negara di dunia yang paling kaya dengan biodiversiti, atau disebut sebagai negara megadiverse, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata pengiktirafan itu bukan sesuatu yang kecil kerana dunia melihat Malaysia sebagai sebuah gedung khazanah yang sangat bernilai untuk keseimbangan ekosistem global.
Advertisement
“Apabila kita berbicara mengenai pemuliharaan alam sekitar, negeri Sarawak yang dikenali sebagai Bumi Kenyalang merupakan sebuah negeri yang sangat ikonik sebagai gergasi biodiversiti di Malaysia.
“Sarawak telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang dalam mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan tuntutan kelestarian alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Renjer Komuniti, Flag-Off Operasi Bersepadu Khazanah serta Pelancaran 1000 Visit To Save Wildlife di sini, hari ini.
Arthur berkata kekayaan hidupan liar bukan sekadar untuk tontonan, tetapi sistem sokongan kehidupan manusia yang memastikan bekalan air bersih terjaga, menjadi penampan bencana alam dan membantu proses pendebungaan tumbuhan.
“Kementerian komited untuk memperkasakan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3). Di bawah program ini, kita mempunyai dua mekanisme utama, iaitu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan pelantikan Renjer Komuniti.
“Sejak dimulakan pada 2019 hingga 2025, pelaksanaan OBK di seluruh negara telah membuahkan hasil membanggakan dengan merekodkan nilai sitaan berjumlah RM413 juta,” katanya.
Beliau berkata di Sarawak, kerjasama antara Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi lain telah berjaya merekodkan nilai sitaan sebanyak lebih RM23 juta dalam tempoh yang sama.
“Kejayaan kita ini juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui Asia Environmental Enforcement Awards (AEEA) daripada UNEP pada 2021 dan 2023. Ini membuktikan strategi kita berada di landasan yang tepat,” katanya.
-- BERNAMA