Skip to main content

Dunia

Indonesia tidak akan korbankan kepentingan nasional dalam perjanjian dengan AS - Prabowo

61756622133_PrabowoSubianto.jpg
Prabowo berkata perjanjian itu telah melalui pertimbangan teliti sebelum diluluskan, termasuk pengurangan tarif daripada 32 peratus kepada 19 peratus. - Foto fail

JAKARTA: Indonesia tidak akan mengorbankan kepentingan nasional dalam usaha memeterai perjanjian perdagangan, kata Presiden Prabowo Subianto ketika mempertahankan perjanjian negara itu dengan Amerika Syarikat di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Beliau berkata perjanjian itu telah melalui pertimbangan teliti sebelum diluluskan, termasuk pengurangan tarif daripada 32 peratus kepada 19 peratus.

Advertisement

“Anda mesti percaya bahawa saya mengutamakan kepentingan nasional Indonesia. Jika saya menilai kepentingan nasional kita terancam oleh mana-mana perjanjian, maka kita boleh menarik diri daripadanya,” beliau dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Komunikasi Kerajaan Indonesia pada Ahad.

Prabowo berkata kerajaan mengekalkan pilihan untuk merundingkan semula sekiranya perjanjian itu dianggap memudaratkan, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju memasukkan klausa pelarasan.

“Kami bersetuju bahawa jika terdapat perkara yang tidak boleh diterima atau bertentangan dengan kepentingan kami, maka klausa pelarasan akan dibuat,” katanya sambil menambah bahawa peruntukan sedemikian, setakat pengetahuannya, tidak terdapat dalam perjanjian dengan negara lain.

Beliau berkata Indonesia juga berpotensi meraih manfaat daripada perjanjian itu apabila sebanyak 1,819 komoditi strategik negara, termasuk kopi dan minyak sawit, dikenakan tarif sifar peratus.

“Dalam perjanjian ini, terdapat 1,819 komoditi kita dengan tarif sifar peratus. Sudah tentu ini bermanfaat,” katanya.

Mengenai pelaburan, Prabowo menegaskan bahawa Indonesia kekal terbuka kepada kerjasama dengan Amerika Syarikat, namun menekankan bahawa semua pelaburan mesti mematuhi peraturan nasional, khususnya dalam pengurusan sumber asli. Beliau menambah bahawa harga pasaran antarabangsa mesti diguna pakai dalam pengurusan mineral kritikal, dengan penyertaan pihak asing dibenarkan selagi peruntukan kerajaan dipatuhi.

-- BERNAMA

Must Watch Video