MANILA: Peningkatan kos sara hidup akibat inflasi yang meningkat dan kesan berlarutan pandemik COVID-19 telah mendorong hampir 68 juta orang lagi ke dalam kancah kemiskinan tegar di Asia dan Pasifik, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) Khamis.

Setakat tahun lepas, dianggarkan 155.2 juta orang di Asia dan Pasifik atau 3.9 peratus daripada penduduk di rantau itu hidup dalam kemiskinan tegar, atau bertahan dengan pendapatan kurang AS$2.15 sehari.

"Asia dan Pasifik semakin pulih daripada pandemik Covid-19, tetapi krisis kos sara hidup yang meningkat menjejaskan kemajuan ke arah menghapuskan kemiskinan," kata ketua ekonomi ADB, Albert Park.

"Dengan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin dan memupuk pelaburan dan inovasi yang mewujudkan peluang pertumbuhan dan pekerjaan, kerajaan di rantau ini boleh kembali ke landasan yang betul," tambahnya.

Inflasi melonjak ke paras tertinggi di kebanyakan negara seluruh dunia tahun lepas disebabkan gangguan dalam pasaran makanan dan tenaga.

Golongan miskin paling terjejas kerana mereka terpaksa berbelanja lebih untuk keperluan asas seperti makanan dan bahan api, menyebabkan mereka tidak dapat menjimatkan wang, membayar kemudahan kesihatan, dan melabur dalam pendidikan, menurut laporan ADB.

"Wanita juga mungkin terjejas, kerana mereka cenderung berpendapatan lebih rendah daripada lelaki manakala juga tertakluk kepada kerja tanpa gaji," menurut kenyataan itu. - BERNAMA-dpa