DUNIA
Thailand kemuka lapan syarat untuk rundingan sempadan dengan Kemboja

Thailand telah mengemukakan lapan syarat utama untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Kemboja minggu ini. - Foto hiasan
BANGKOK: Thailand telah mengemukakan lapan syarat utama untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Kemboja minggu ini, sebagai usaha mengukuhkan gencatan senjata, menamatkan konflik serta memelihara keamanan antara kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Narkphanit berkata syarat-syarat itu dibentangkan semasa hari kedua perbincangan antara Sekretariat GBC Thailand dan rakan sejawat dari Kemboja.
"Lapan syarat yang dicadangkan oleh Thailand ini adalah berdasarkan perjanjian terdahulu dengan matlamat menyelesaikan pertikaian dan memupuk keamanan antara kedua-dua negara.
"Sekiranya Sekretariat GBC Kemboja menerima cadangan ini, ia akan dibawa ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pertahanan yang dijadualkan pada 7 Ogos," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam Thailand pada Selasa.Nattaphon berkata mana-mana syarat yang diterima oleh pihak Kemboja akan dibincangkan dalam mesyuarat yang sedang berlangsung, manakala isu yang belum dipersetujui - jika ditangguhkan - perlu selaras dengan objektif strategik Thailand.
"Isu seperti pelanggaran gencatan senjata oleh pihak Kemboja yang dilaporkan juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat akan datang.
Kehadiran negara pemerhati pihak ketiga akan membantu memastikan sebarang pelanggaran oleh pihak Kemboja dapat diteliti oleh pihak antarabangsa," katanya.
Namun begitu, Nattaphon menegaskan bahawa Thailand akan terus berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa delegasi Thailand tidak akan berkompromi terhadap kepentingan negara dalam rundingan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pertikaian sempadan yang berlarutan antara Thailand dan Kemboja dijangka dapat diselesaikan pada Khamis ini menerusi mesyuarat GBC.
Anwar berkata Menteri Pertahanan kedua-dua negara akan menghadiri mesyuarat itu untuk mencapai persefahaman bersama, sekurang-kurangnya bagi mengekalkan atau mengesahkan semula gencatan senjata dan memastikan tiada lagi sebarang pelanggaran baharu, terutamanya di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Pada 28 Julai lepas, kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Anwar. Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami