BEBERAPA hari selepas tercetusnya kekecohan di sempadan Gaza, yang mengorbankan lebih 100 nyawa rakyat Palestin, beberapa majlis bulan Ramadan terpaksa dibatalkan.

Sebagai tanda duka cita dan solidariti, kebanyakan keluarga juga tidak menggantungkan sebarang perhiasan di rumah mereka.

“Tidak boleh dinafikan, Ramadan kali ini amat menyedihkan.

“Di kebanyakan perkampungan Arab, penduduknya tidak lagi menghiasi rumah dan jalanan seperti yang mereka lakukan setiap tahun.

“Sepatuh daripada keluarga saya di Semenanjung Gaza. Sangat menyakitkan bagi kami untuk menyambut Ramadan,” luah Pengarah Bersama Eksekutif Abraham Fund, Dr. Thabet Abu-Rass.

Emosi menyambut Ramadan tahun ini berbeza apabila teringat insiden berdarah di sempadan Gaza. - AP

Menurut jurucakap Abraham Fund, Yaqub Abu-Ibrahim, tahun ini pelbagai kempen dilakukan bagi mengumpul dana untuk penduduk di Gaza.

“Di media sosial, ramai orang yang bertanya: Bagaimana hendak menyambut bulan Ramadan dengan meriah jika ramai penduduk Gaza terbunuh?” katanya.

Bagi salah seorang penduduk yang menetap di Umm al-Fahm, Samira Maamid, dia masih terkesan dengan kejadian protes berdarah di sempadan Gaza.

“Tahun ini saya tidak akan menyambut sebarang majlis Ramadan, kerana betapa sakitnya melihat banyak mangsa yang maut di Gaza dan saya tidak boleh berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku.

“Ia sangat menyedihkan. Kita perlukan lebih banyak hari untuk berkabung atas nasib penduduk Gaza itu,” kata Samira.

Walaupun begitu, Ramadan Market, iaitu sebuah festival 10 hari bagi meraikan bulan Ramadan di bandar Tayibe akan tetap dijalankan, menurut Datuk Bandarnya, Sha’a Mansour Massarwa.

Beliau berkata, perayaan tersebut telah diadakan sejak tiga tahun berturut-turut bagi membantu menaikkan imej bandar itu sekali gus mengurangkan kadar jenayah.

Sepanjang bulan puasa, puluhan ribu masyarakat Islam bersolat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, dengan beratus-ratus bas digerakkan untuk membawa jemaah lelaki, wanita, dan kanak-kanak ke masjid berkenaan.

Umat Islam Palestin meneruskan aktiviti sepanjang bulan Ramadan seperti biasa namun masih terkesan dengan khabar sedih di sempadan Gaza. - AP

Puasa bulan Ramadan mempunyai signifikasi tersendiri lantaran ia disambut pada tarikh berbeza setiap tahun. Ini membuatkan lokasi berbeza di seluruh dunia dapat merasai pengalaman itu pada musim-musim yang berbeza.

“Berpuasa mengajar kami untuk bersabar dan bersikap toleransi. Kami tidak boleh memasukkan sebarang objek ke dalam mulut seperti makanan, minuman atau bahan-bahan lain dan itu mengajar kami untuk bertahan,” kata Abu-Rass.

Ibadat puasa juga dilihat sebagai amalan yang mampu membersihkan tubuh badan.

Di Palestin, ketika waktu berbuka puasa iaitu ketika matahari terbenam, lazimnya lebih daripada tiga jenis makanan akan disajikan.

Ini termasuklah hidangan manis popular seperti Qatayef, iaitu sejenis ladu berintikan krim dan kacang.

Bukan sahaja dilarang makan dan minum, bagi suami isteri pula mereka ditegah melakukan hubungan fizikal yang intim sepanjang menjalani ibadah berpuasa.

“Kadangkala, bukan mudah untuk menjadi orang Islam Arab di Israel. Di beberapa tempat, terdapat sekolah dan universiti mengadakan peperiksaan ketika waktu berpuasa dan ini menyukarkan mereka.

“Setiap tahun kami perlu berbincang dengan pihak berkuasa dan institusi pendidikan untuk lebih bertimbang rasa kepada umat Islam yang berpuasa,” kata beliau.