Skip to main content

Politik

Calon Ketua Pembangkang belum muktamad - Hadi Awang

61767946380_AbdulHadiAwang.jpg
Abdul Hadi berkata, keputusan berhubung jawatan berkenaan akan dimuktamadkan selepas perbincangan menyeluruh melibatkan semua parti pembangkang. - Gambar fail

KUALA NERUS: Pelantikan Ketua Pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bercakap kepada pemberita selepas Kuliah Dhuha di sini hari ini, Ahli Parlimen Marang itu berkata keputusan berhubung jawatan berkenaan akan dimuktamadkan selepas perbincangan menyeluruh melibatkan semua parti pembangkang.

Advertisement

Beliau berkata ada masa mencukupi untuk membuat keputusan itu memandangkan sidang Dewan Rakyat hanya akan berlangsung pada Jun, dengan keutamaan ketika ini tertumpu kepada penyelesaikan urusan dalaman parti serta perkara berkaitan Perikatan Nasional.

“Perkara ini perlu dibincangkan dengan semua pihak kerana ia melibatkan semua ahli Parlimen pembangkang bukan hanya satu parti.

“Kita akan mengambil kira pandangan semua parti politik serta ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Sabah dan Sarawak. Calon perlu mendapat persetujuan semua parti komponen,” katanya.

Setakat ini, jawatan Ketua Pembangkang masih dipegang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut. 

Sementara itu, Abdul Hadi mengulangi cadangan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.

Beliau berkata langkah itu penting kerana isu berkenaan memberi kesan kepada semua pihak dan memerlukan penglibatan wakil rakyat secara menyeluruh dalam mengemukakan pandangan berhubung krisis tersebut.

"Kita cadang buat sidang khas Parlimen. Terima pandangan semua (wakil rakyat). Sepatutnya begitu sebab kita dalam satu kapal. Sebab itu perlu libatkan wakil rakyat bincang dalam Parlimen.

“Perbezaan politik perlu diketepikan buat sementara waktu bagi menangani isu ini. Semua pihak perlu berbincang bersama dan tidak wajar kerajaan memikul tanggungjawab ini secara bersendirian,” katanya.

Hamzah atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang telah memohon kerajaan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat untuk membincangkan implikasi konflik di Asia Barat terhadap Malaysia. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

Must Watch Video