'Ini jiran kami, lepaskan mereka', komuniti Glasgow halang tindakan pihak imigresen

Agensi
Mei 14, 2021 06:49 MYT
Penunjuk perasaan dilaporkan mengelilingi van pihak berkuasa, manakala salah seorang peserta protes baring di bawah kenderaan tersebut. - AP News
GLASGOW: Seramai 200 orang berhimpun di Glasgow, Scotland bagi menghalang pihak berkuasa imigresen United Kingdom daripada menahan dua lelaki dalam satu serbuan.
Dua lelaki yang ditahan telah dibebaskan selepas tunjuk perasaan berlangsung sepanjang hari sejak pagi Khamis waktu tempatan.
Penunjuk perasaan dilaporkan mengelilingi van pihak berkuasa, manakala salah seorang peserta protes baring di bawah kenderaan tersebut.
Mereka beramai-ramai melaungkan kata-kata protes, antaranya, "Ini jiran kami, lepaskan mereka!".
Menurut media tempatan, polis Scotland mengambil langkah untuk melepaskan dua lelaki tersebut kira-kira lapan jam kemudian selepas protes tidak menunjukkan tanda reda.
“Bagi melindungi keselamatan, kesihatan umum dan kesejahteraan semua orang yang terlibat dalam penahanan dan protes di Kenmure Street, Pollokshields hari ini, Ketua Superintendan Mark Sutherland, selepas membuat penilaian risiko, telah mengambil keputusan untuk melepaskan lelaki-lelaki yang ditahan oleh Penguatkuasaan Imigresen UK supaya mereka dapat kembali kepada komuniti buat masa ini,” jelas polis Scotland dalam satu kenyataan.
Memetik laporan The Guardian, salah seorang peserta protes, Roza Salih mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menjalankan serbuan pada awal pagi, terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri.
“Ini satu kemenangan untuk komuniti kami,” tegas Roza, yang juga merupakan seorang pelarian Kurdistan.
Selepas dua lelaki tersebut dibebaskan, mereka diiringi oleh penunjuk perasaan ke sebuah masjid berhampiran.
Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon mengecam serbuan tersebut dan menggesa kerajaan UK supaya tidak lagi membenarkan situasi sama berulang.
“Apa yang berlaku hari ini disebabkan oleh tindakan Kementerian Dalam Negeri UK.
“Tindakan sebegitu, di tengah-tengah komuniti umat Islam ketika mereka sedang menyambut Aidilfitri serta di kawasan yang mengalami penularan kes COVID-19, menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan umum,” jelas Sturgeon dalam satu ciapan di Twitter.

2/ I disagree fundamentally with @ukhomeoffice immigration policy but even putting that aside, this action was unacceptable. To act in this way, in the heart of a Muslim community as they celebrated Eid, and in an area experiencing a Covid outbreak was a health & safety risk

— Nicola Sturgeon (@NicolaSturgeon) May 13, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#protes #Aidilfitri #Scotland #Glasgow #nicola sturgeon #Imigresen #tunjuk perasaan #komuniti #COVID-19