PIHAK berkuasa Thailand akan mendakwa lapan lagi bekas anggota keselamatan berhubung peranan mereka dalam insiden Tak Bai, 20 tahun lalu, yang menyaksikan  78 penunjuk perasaan mati lemas atau mati dihempap ​​di dalam trak tentera.


Ringkasan AI
  • Lapan bekas anggota keselamatan Thailand akan didakwa atas kematian 78 penunjuk perasaan dalam insiden Tak Bai. Suspek didakwa kerana tindakan membawa penunjuk perasaan dalam trak yang terlalu sesak, menyebabkan kematian. Insiden ini berlaku pada 2004, mendapat kecaman antarabangsa, dan sehingga kini, tiada yang bertanggungjawab atas kematian tersebut.


Pejabat Peguam Negara (OAG) pada hari Rabu mengumumkan kesemua lapan tertuduh - enam askar dan dua orang awam - didakwa atas pembunuhan yang dirancang dengan akibat yang boleh dijangka.

Jurucakap OAG Prayut Phetcharakhun berkata penggunaan trak yang terlalu sesak untuk menahan penunjuk perasaan adalah tidak wajar, walaupun tidak ada niat untuk menyebabkan kematian.

“Suspek boleh meramalkan bahawa tindakan mereka akan menyebabkan sesak nafas dan kematian 78 orang di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.

Prayut berkata bahawa Peguam Negara Amnat Jedcharoenruk telah memutuskan untuk meminta polis membawa lapan suspek ke mahkamah untuk dibicarakan.

Bagaimanapun sekiranya polis tidak dapat berbuat demikian selewat-lewatnya pada 25 Oktober, statut sekatan ke atas semua suspek berkenaan akan tamat.

Mahkamah Jenayah di wilayah selatan Narathiwat bulan lalu menerima aduan berkaitan yang difailkan oleh keluarga mangsa terhadap anggota keselamatan selepas cuba membawa kes berkenaan sejak sekian lama.

Tujuh defendan dalam kes terakhir sepatutnya hadir ke mahkamah untuk soal balas dan pemeriksaan bukti pada 12 September lalu tetapi tiada seorang pun yang hadir. Waran tangkap dikeluarkan untuk enam daripada mereka.

Sementara saman dikeluarkan untuk defendan ketujuh, yang merupakan bekas komander Wilayah 4 Tentera Darat Jen Pisal Wattanawongkiri, memandangkan deliau kini dilindungi di bawah kekebalan parlimen sebagai ahli parlimen.

Beliau adalah ahli parlimen dari pemerintah, Parti Parti Pheu Thai.

Tujuh defendan yang terlibat dalam kes pertama dituduh membunuh dan penahanan yang menyalahi undang-undang kerana salah mengendalikan demonstrasi.

Lapan suspek dalam kes kedua ialah: Jeneral Chaloemchai Wirulpetch, Sub Leftenan Nathawut Lueamsai, Wisanu Lertsongkhram, Leftenan Wisanukorn Chaisarn, Piti Yankaeo, Pegawai Warran III Pitak Srisuwan, Leftenan Kol Prasert Matmil dan Leftenan Rithirong Promrit.

Insiden Tak Bai pada 19 Oktober 2004 berpunca selepas enam penduduk tempatan ditahan yang mengundang perhimpunan ratusan penunjuk perasaan bagi mendesak mereka dilepaskan.

Pada jam 1 tengah hari pada hari yang sama, Lt Jen Pisal, yang ketika itu komander Tentera Ke-4 yang bertanggungjawab untuk Selatan, mengarahkan pegawai untuk mula menyuraikan protes.

Keadaan huru-hara tercetus dan tujuh penunjuk perasaan maut akibat tembakan. Anggota keselamatan kemudian bergerak untuk menahan penunjuk perasaan yang tinggal dan mempersiapkan mereka untuk diangkut ke kem tentera.

Jeneral Chaloemchai, komander Divisyen Infantri ke-5, bertanggungjawab menggerakkan 25 trak tentera untuk pengangkutan tahanan dan Lt Kol Prasert menyelia konvoi.

Enam suspek yang lain memandu trak tersebut.

Prayut berkata dengan hanya 25 trak tersedia untuk mengangkut seramai 1,000 penunjuk perasaan yang ditahan, suspek sepatutnya sedar bahawa kesesakan pada trak itu boleh mengakibatkan kematian.

Trak-trak itu bertolak ke kem tentera Ingkhayutthaborihan di daerah Nong Chik di Wilayah Pattani.

Tujuh puluh lapan daripada tahanan itu terkorban dalam perjalanan selama dua jam itu.

Perdana menteri ketika itu Thaksin Shinawatra memohon maaf atas insiden Tak Bai tetapi tidak menerima tanggungjawab.

Tiada siapa yang pernah didakwa atas kematian tersebut.

Tindakan keras itu, yang mendapat kecaman antarabangsa, berlaku ketika Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat berada di bawah undang-undang tentera.

Kitaran keganasan di tiga wilayah majoriti Islam itu sehingga kini membunuh sehingga 7,600 orang.