Skip to main content

Dunia

Interpol tahan 95 individu dalam operasi banteras bahan penderaan seksual kanak-kanak

Empat operasi polis yang dijalankan antara Mac dan September itu melibatkan 17 negara di Amerika Latin dan Eropah, termasuk Brazil, Colombia, Argentina, Sepanyol serta Itali. Pihak penyiasat turut melaksana 127 waran geledah.

Advertisement

GENEVA: Polis menahan 95 suspek dalam satu operasi antarabangsa yang menyasarkan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian, menurut Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Empat operasi polis yang dijalankan antara Mac dan September itu melibatkan 17 negara di Amerika Latin dan Eropah, termasuk Brazil, Colombia, Argentina, Sepanyol serta Itali. Pihak penyiasat turut melaksana 127 waran geledah.

“Di sebalik setiap fail, wujud seorang kanak-kanak yang telah didera dan kembali menjadi mangsa setiap kali imej berkenaan disebarkan semula,” kata Pengarah Eksekutif Sokongan Siasatan Interpol, Stephen Fry.

“Di mana sahaja pesalah bergerak, kita perlu bergerak lebih pantas.”

Di Colombia, polis menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan menahan ibu atau bapa yang disyaki menghasilkan bahan penderaan seksual melibatkan anak berkenaan untuk dijual secara dalam talian, menurut Interpol.

Menerusi pangkalan data Interpol, penyiasat mengaitkan beberapa fail dengan kanak-kanak yang sama, termasuk fail yang dirakam seawal usia mangsa satu tahun.

Di Ecuador, penyiasat yang memeriksa seorang suspek berkaitan satu kumpulan sembang menemukan lebih 4,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak berjumlah kira-kira 15 gigabait.

Sementara itu di Panama, polis menahan pentadbir sebuah kumpulan sembang yang digunakan untuk mengedar bahan berkenaan. Kumpulan itu mempunyai lebih 700 pengguna, menurut Interpol.

Di Argentina pula, polis menahan seorang suspek yang dituduh menghubungi lebih 260 kanak-kanak perempuan di pelbagai negara serta melakukan pemerasan seksual terhadap golongan bawah umur.

Suspek didakwa meminta video dan imej yang semakin eksplisit daripada mangsa serta mengancam mereka sekiranya enggan menuruti permintaan itu.

Interpol memaklumkan bahawa penjenayah semakin kerap menggunakan platform digital untuk mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual, mengkoordinasi penderaan dan mengaut keuntungan daripada kandungan haram berkenaan.

-- BERNAMA-dpa 

Must Watch Video

Advertisement