TEHRAN: Iran memberi amaran bahawa mana-mana pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap negara itu akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan yang sah.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan perkara itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh penyiar rasmi negara, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB).
Menurut beliau, ketahanan Iran dalam menghadapi konflik semasa mencerminkan kekuatan sebenar sistem pertahanan negara tersebut.
“Berdiri menentang kuasa terbesar dunia yang dilengkapi senjata nuklear selama 40 hari bukan perkara kecil, dan dunia kini melihat keupayaan sebenar Iran.
“Kami telah memberi amaran kepada negara-negara serantau bahawa pangkalan AS yang digunakan untuk sebarang serangan terhadap Iran akan menjadi sasaran yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Araghchi turut menegaskan komitmen Iran untuk mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil di rantau ini, termasuk dengan Arab Saudi.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak susulan laporan mengenai serangan udara oleh AS terhadap beberapa sasaran yang dikaitkan dengan Iran.