NEW YORK: Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata pertemuan antara wakil Iran dan Amerika Syarikat (AS) di New York diadakan melalui pengantaraan Qatar, dengan Iran menyampaikan dengan jelas segala syarat kepada pihak AS bagi menyambung semula usaha diplomasi, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
“Interaksi yang berlaku adalah melalui pengantaraan Qatar. Malah, delegasi Iran menyampaikan pandangan dan semua syarat kepada pihak Amerika dengan sangat jelas dan terus terang melalui pihak pengantara,” katanya kepada IRNA pada lewat Selasa waktu New York.
Menurut jurucakap itu, syarat Iran termasuk menghentikan pertempuran di semua medan, pemberhentian tindakan agresif AS, penamatan sekatan laut dan perang ekonomi AS terhadap Iran, serta pelepasan aset Iran.
Beliau berkata Iran juga menyampaikan syarat berkaitan diplomasi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk pendiriannya mengenai isu seperti keselamatan Selat Hormuz.
“Hari ini, kehadiran delegasi kami di New York memberikan peluang untuk menyampaikan perkara ini dengan jelas kepada pihak Amerika,” katanya.
Pertemuan antara wakil Iran dan AS itu berlangsung pada Selasa di luar persidangan Sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Menurut Baqaei, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi, turut mengadakan pertemuan berasingan dengan pegawai dari beberapa negara di luar persidangan UNGA.
Beliau berkata hubungan dua hala, serta perkembangan di Asia Barat dan beberapa bahagian lain dunia, menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
-- BERNAMA-IRNA