TEHRAN: Kerajaan Iran memberi jaminan bahawa akses internet di negara itu akan kembali pulih sepenuhnya sebaik sahaja peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel berakhir.
Jurucakap Kerajaan, Fatemeh Mohajerani, berkata pentadbiran Presiden Masoud Pezeshkian mengiktiraf akses internet sebagai hak sivil dan komited menyediakan capaian saksama kepada semua infrastruktur digital.
“Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan akses saksama kepada semua infrastruktur, termasuk internet.
"Kami mengiktiraf akses internet sebagai hak sivil, dan ini juga merupakan pandangan presiden,” katanya pada satu taklimat media hari ini.
Beliau berkata dasar pro‑internet kerajaan bertujuan memastikan perniagaan mempunyai akses berkualiti tinggi, namun sekatan semasa terpaksa dikekalkan atas faktor keselamatan negara.
“Selepas keadaan kembali normal, insya‑Allah, situasi ini juga akan kembali seperti sediakala,” katanya seperti dilaporkan Al Jazeera.
Sejak konflik tercetus pada 28 Februari lalu, jutaan penduduk Iran dilaporkan mengalami gangguan internet hampir menyeluruh selama 74 hari, dengan hanya laman web yang diluluskan kerajaan boleh diakses.
Sekatan itu dikatakan menjejaskan ribuan perniagaan dalam talian dan menyukarkan penyaluran maklumat mengenai situasi sebenar peperangan kepada dunia luar.
Dalam pada itu, aktivis hak asasi mendakwa langkah kerajaan berkenaan merupakan bentuk penapisan maklumat bagi menyekat laporan berhubung kemusnahan infrastruktur serta jumlah korban akibat serangan udara pihak lawan.