TEHRAN: Iran mengecam kenyataan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan menyifatkannya sebagai campur tangan, provokatif serta tidak bertanggungjawab, lapor Al Jazeera.
Kementerian Luarnya dalam kenyataan berkata kehadiran ketenteraan AS di rantau Teluk menjadi punca utama ketidakstabilan dan ketegangan di Asia Barat.
Bidasan itu dibuat susulan mesyuarat peringkat menteri di Manama, Bahrain yang dihadiri Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bersama menteri luar negara anggota GCC.
Dalam mesyuarat tersebut, AS dan GCC menekankan kepentingan memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz tanpa sebarang sekatan atau bayaran.
Namun Iran menegaskan laluan strategik itu berada di bawah bidang kuasa wilayahnya bersama Oman, dengan pengurusan pelayaran ditadbir berdasarkan memorandum persefahaman yang telah dipersetujui sebelum ini.
Tehran turut menolak dakwaan dalam kenyataan bersama berkenaan yang mengaitkan kumpulan penentangan Palestin dan Lubnan sebagai proksi Iran.
Sebaliknya, Iran mendakwa Israel merupakan pihak luar yang mencetuskan ketegangan dan konflik ketenteraan di rantau berkenaan.
Menurut Tehran, kestabilan jangka panjang di Asia Barat hanya boleh dicapai melalui kerjasama antara negara serantau tanpa campur tangan kuasa luar.
Sehubungan itu, Iran menyeru negara-negara Teluk untuk mempertimbangkan pendekatan keselamatan kolektif baharu yang bebas daripada pengaruh luar.