TEHRAN: Iran telah berjaya melancarkan satelit pengimejan Noor-3 ke orbit pada jarak 450 kilometer di atas permukaan Bumi, kata pegawai pada Rabu.

Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Issa Zarepour dalam satu catatan di media sosial berkata satelit tersebut telah berjaya dilancarkan ke orbit, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau berkata bahagian aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah melancarkan Noor-3 menggunakan roket Qassed.

"Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan ini kepada rakyat, mereka yang bekerja keras dalam sektor aeroangkasa negara dan pakar Pasukan Aeroangkasa IRGC," kata menteri itu.

Roket Qassed juga digunakan oleh IRGC untuk melancarkan satelit Noor-2 pada Mac 2022, yang ditempatkan di orbit pada jarak 500 kilometer dari permukaan Bumi, tambahnya.

Noor-1 telah dilancarkan pada tahun 2020.

Pelancaran satelit Iran telah dikritik oleh Amerika Syarikat, yang mendakwa program peluru berpandu jarak jauh negara itu juga boleh digunakan untuk melancarkan senjata jarak jauh.

Mereka mendakwa ia mencabuli resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.Tehran menafikan dakwaan itu dengan menegaskan pelancaran satelitnya bertujuan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pertanian.

-- BERNAMA