ISTANBUL: Iran berusaha menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel “secara bermaruah,” kata Presiden negara itu Masoud Pezeshkian pada Ahad, sambil menegaskan Presiden AS Donald Trump tidak berhak menafikan hak nuklear Tehran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita ISNA.
“Trump berkata Iran tidak sepatutnya menggunakan hak nuklearnya, tetapi tidak menjelaskan apakah kesalahan yang telah dilakukan Iran,” kata Pezeshkian semasa lawatan ke Kementerian Sukan dan Belia Iran, menurut laporan ISNA.
Advertisement
Beliau turut menggesa rakyat supaya berdiri “teguh menentang musuh yang dahagakan darah dan kejam.”
Iran perlu mengurus suasana semasa dengan cara yang “tidak menggambarkan kami sebagai pencetus perang” kerana “kami mempertahankan diri,” katanya.
Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran, dan Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta beberapa negara serantau yang menempatkan aset AS.
Perang itu ditangguhkan sejak 8 April selepas Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu.
Washington dan Tehran mengadakan rundingan di Pakistan hujung minggu lalu ke arah mencapai perdamaian berkekalan, dan usaha untuk mengadakan satu lagi sesi rundingan di Islamabad sedang dijalankan.
-- BERNAMA-ANADOLU